Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
1. Pembinaan Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan yang berkapasiti 300 Megawatt (MW) akan diteruskan dan dibiayai serta dilaksanakan sepenuhnya oleh TNB Power Generation Sdn. Bhd.(TPGSB)
2. Pada masa ini, kerja-kerja pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik ini telah dimulakan sejak 1 Mac 2022 dan projek dijangka siap dan mula beroperasi pada 1 Jun 2027. Dengan keluasan tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi, projek ini mampu membantu Kerajaan Negeri Kelantan mengurangkan kesan fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri ini selain mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan, dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan ketika pembinaannya dan pelbagai lagi potensi kegiatan ekonomi apabila ia siap kelak.
3. Pembinaan Empangan Nenggiri ini akan memberikan kesan kepada flora dan fauna serta tiga (3) buah perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Kuala Wias, Pos Pulat dan Pos Tohoi yang mempunyai penduduk seramai 1,115 orang. Sehubungan itu, kesan atau impak ini perlu ditangani melalui pelbagai langkah kawalan dengan kerjasama rapat jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.
4. Selain itu, pihak TPGSB telah memulakan kerja-kerja awalan pembangunan projek ini dengan memperolehi semua kelulusan yang diperlukan, antaranya Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam dan Sosial, Kajian Impak Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment - EIA), Kajian Impak Sosial (Social Impact Assessment - SIA) dan Kajian Impak Warisan (Heritage Impact Assessment - HIA).
5. Bagi memaksimumkan manfaat projek ini dan menjaga kepentingan masyarakat perkampungan yang terlibat dan Orang Asli di kawasan berkenaan, sejak tahun 2014 lagi, TNB telah melaksanakan pelbagai program dan tanggungjawab sosial bersama komuniti-komuniti Orang Asli di sekitar tapak cadangan projek.
6. Lebih tiga puluh (30) sesi libat urus bersama masyarakat setempat telah dilaksanakan termasuk anjuran SUHAKAM yang disertai para pemimpin komuniti Orang Asli di tapak projek empangan iaitu dari Pos Tohoi, Pos Pulat, Kg. Kuala Wias dan kumpulan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK). Berdasarkan hasil Kajian Penerimaan Awam oleh Juruperunding yang dilantik, UKM Pakarunding Sdn. Bhd. pada tahun 2018, menunjukkan tahap penerimaan projek oleh penduduk di ketiga-tiga perkampungan meningkat kepada 80% berbanding 69.5% pada tahun 2015.
7. Ini mencerminkan masyarakat terlibat telah memahami dengan jelas pembangunan yang akan berlaku di kawasan mereka dan manfaat yang akan diperolehi. TNB bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan jabatan serta agensi berkaitan akan melakukan penempatan semula beberapa petempatan Orang Asli yang terkesan berdasarkan kepada perundangan dan persetujuan Orang Asli sendiri.
8. Kawasan petempatan baru akan meningkatkan kualiti hidup mereka dalam tempoh jangka masa panjang. Selain dari rumah yang lebih selesa dengan kemudahan insfrastruktur awam, mereka juga akan mempunyai sumber pendapatan yang lebih terjamin melalui kebun getah yang akan dibangunkan.
Sekian, terima kasih.