Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

01 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Mineral, Perhutanan

Nombor Soalan

26

Soalan

PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR (PERMATANG PAUH) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan tindakan Kementerian terhadap projek lanthanide mining oleh MCRE RESOURCES di Hulu Perak yang bakal membawa kemusnahan terhadap kawasan sebesar 2126 hektar yang merangkumi kawasan 'Environmentally Sensitive Area 1' dan 'Primary Linkage 8 Central Forest Spine'. ​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Berdasarkan permohonan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan yang telibat adalah seluas 2,161 hektar. Permohonan ini telah mendapat kelulusan pada 11 Mei 2022 yang lalu meliputi beberapa tanah persendirian di bawah pemilikan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Majlis Daerah Gerik, FELCRA Berhad dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

2. Berdasarkan perincian Laporan EIA yang telah diluluskan tersebut, daripada keluasan 2,161 hektar ini, hanya tanah di bawah pemilikan PPPNP dan FELCRA Berhad yang berstatus tanah pertanian iaitu seluas 1,546 hektar sahaja diluluskan bagi kegunaan kawasan perlombongan dan pusat pemprosesan mineral unsur nadir bumi (Rare Earth Elements - REE). Seterusnya, tanah di bawah pemilikan Majlis Daerah Gerik seluas 36 hektar diluluskan bagi tujuan pembangunan infrastruktur seperti pejabat dan stor.

3. Manakala, baki kawasan seluas 579 hektar yang berstatus tanah hutan di bawah pemilikan MB Inc. pula diluluskan bagi kegunaan kajian EIA sahaja kerana terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK). Daripada kawasan yang telah diluluskan EIA untuk tujuan perlombongan dan pemprosesan tersebut, pada masa ini, hanya kawasan seluas 87.45 hektar di bawah pemilikan PPPNP sahaja yang dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai tapak projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (Non-Radioactive Rare Earth Elements – NR-REE).

4. Seterusnya, rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menunjukkan tiada sebarang kelulusan tenemen mineral (Pajakan Melombong atau Lesen Melombong Tuan Punya) di Negeri Perak dikeluarkan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Kelas I.

5. Untuk langkah seterusnya dalam memastikan projek perlombongan ini memberikan impak yang minimum terhadap alam sekitar, Kementerian amat menekankan prinsip perlombongan secara bertanggung jawab dan mampan. Perkara ini turut telah dinyatakan semasa sesi penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat pada 6 Oktober 2021 yang lalu, di mana Kementerian tidak akan menyokong dan mengeluarkan apa-apa Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sekiranya permohonan perlombongan adalah di atas tanah berstatus HSK atau rizab perlindungan dan kawasan yang diwartakan sebagai KSAS. Hal ini adalah terpakai bagi semua jenis perlombongan termasuk perlombongan NR-REE. Oleh sebab itu, hanya kawasan tanah berstatus pertanian di bawah pemilikan PPPNP sahaja yang diluluskan bagi aktiviti perlombongan NR-REE.

6. Walaupun aktiviti perlombongan ini telah mendapat kelulusan-kelulusan berkaitan seperti EIA, OMS dan Kebenaran Merancang (KM), Kementerian masih mengawal aktiviti perlombongan ini melalui penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE Negeri Perak. SOP ini  telah mula berkuatkusa bermula 15 April 2022 yang lalu dan akan diguna pakai sebagai panduan untuk mengawal selia perlaksanaan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Negeri Perak. SOP ini telah dibangunkan secara komprehensif dengan mengambil kira kesemua akta dan perundangan berkaitan antaranya seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral (Perak) 2003, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

7. Di samping itu juga, Kementerian telah menetapkan bahawa hanya kaedah perlombongan secara in-situ leaching dari deposit lempung jerapan ion (Ion Adsorption Clay – IAC) dibenarkan bagi tujuan perlombongan dalam projek perintis ini. Kaedah ini diyakini lebih selamat berbanding kaedah perlombongan secara terbuka (open cast) yang akan mengakibatkan lebih banyak pembersihan hutan akibat daripada aktiviti penebangan pokok. Kaedah in-situ leaching hanya melibatkan pembukaan tanah yang minimum kerana hanya melibatkan suntikan larutan ammonium sulphate ke dalam jasad bijih melalui lubang suntikan larutan di bawah kepala tekanan tertentu untuk mengekstrak mineral ini dalam bentuk ion.

8. Mengambil kira status projek ini sebagai projek perintis, Kementerian akan memastikan kawal selia yang rapi dibuat dengan menubuhkan jawatankuasa pemantau serta melantik penilai bebas bagi membuat pemantauan berkala serta membuat penilaian impak terhadap pelaksanaan aktiviti projek perintis. Penilaian ini melibatkan faktor-faktor utama seperti keselamatan penggunaan kaedah in-situ leaching, penilaian terhadap sumber air bawah tanah dan air permukaan, penilaian kondisi tanah dan tanaman, kos pengeluaran mineral, impak limpahan ekonomi setempat dan kesihatan masyarakat di sekitar kawasan projek.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DR L26 01.08.2022 - Nurul Izzah Anwar [Permatang Pauh].pdf