Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

01 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

84

Soalan

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI (KUALA NERUS) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan strategi Kementerian dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada minyak, gas dan arang batu bagi mengelakkan kenaikan tarif elektrik yang sudah pasti membebankan rakyat. Laporan media menyebut berikutan kekurangan bahan-bahan berkenaan di peringkat global mengakibatkan harga bekalan tenaga dunia melambung tinggi.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

Bagi mengurangkan kebergantungan Negara kepada sumber penjanaan elektrik berasaskan bahan api fosil seperti minyak, gas dan arang batu, beberapa dasar dan program berkaitan sumber penjanaan berasaskan Tenaga Boleh Baharu (TBB) telah dan sedang dilaksanakan seperti berikut:

1. Kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak 31% kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2025 dan 40% menjelang tahun 2035. Sasaran tersebut akan dapat dicapai melalui pelaksanaan program-program TBB sedia ada seperti Feed-in Tariff (FiT), Net Energy Metering (NEM), Self-Consumption (SelCo) dan New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA).

2. Kerajaan melalui Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER) (2022 – 2035) telah menggariskan kerangka strategik bagi meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara melalui pelaksanaan empat tonggak strategi berasaskan teknologi iaitu solar, bio-tenaga, hidro dan sumber-sumber baharu. Pelaksanaan kesemua tonggak ini akan didukung oleh empat strategi pemangkin yang berperanan sebagai enabler ke arah usaha peningkatan kapasiti TBB negara serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida. Empat strategi pemangkin tersebut adalah:

a) memanfaatkan peluang TBB dalam pasaran bekalan elektrik (leveraging electricity market reform for RE oppurtunities);

b) menambah baik akses kepada pembiayaan (improve access to financing);

c) pembentukan modal insan dan pembangunan infrastruktur (shape human capital and infrastructure); dan

d) peningkatan keanjalan sistem grid pembekalan elektrik (increase system flexibility).

3. Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara atau National Energy Efficiency Action Plan (NEEAP) (2016 – 2025) telah dan sedang dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan tahap kecekapan tenaga dalam tiga sektor utama, iaitu sektor industri, komersial dan kediaman. Melalui NEEAP, Kerajaan mensasarkan penjimatan elektrik terkumpul sebanyak 8% pada tahun 2025 berbanding senario business-as-usual (BAU). Sehingga Disember 2021, pelaksanaan inisiatif di bawah NEEAP telah menyumbang kepada penjimatan elektrik tahunan sebanyak 4.37% atau penjimatan terkumpul sebanyak 21,163 Gigawatt jam bersamaan dengan RM6.06 bilion.

4. Kerajaan juga sentiasa komited untuk menggalakkan rakyat melaksanakan amalan cekap tenaga dalam kehidupan seharian mereka. Dalam hal ini, Kerajaan telah memandatorikan pelaksanaan Standard Prestasi Tenaga Minimum atau Minimum Energy Performance Standard (MEPS) dan memberi penarafan kecekapan tenaga berserta pelabelan ke atas sembilan (9) jenis peralatan elektrik iaitu peti sejuk, penghawa dingin, kipas domestik, televisyen, lampu, freezer, mesin basuh, microwave oven dan periuk nasi.

5. Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE). Program ini dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia sebagai agensi pelaksana dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) melalui pembiayaan Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE). Pelaksanaannya turut disokong oleh syarikat-syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sarawak Energy Berhad, Sabah Electricity Sdn. Bhd., Nur Power Sdn. Bhd.

6. Pelaksanaan Program SAVE ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan kelengkapan elektrik cekap tenaga serta memperbanyakkan penawaran dan pilihan barangan yang cekap tenaga bertaraf 4 dan 5 bintang di dalam pasaran tempatan.

7. Program SAVE ini menyediakan nilai e-rebat yang boleh ditebus dan terdapat dua kategori peralatan di bawah program ini iaitu Kategori 1, peti sejuk dan penyaman udara dengan nilai e-rebat yang boleh ditebus sebanyak RM200. Di bawah Kategori 2 pula, nilai e-rebat yang disediakan adalah RM200 bagi televisyen, RM200 bagi mesin basuh, RM100 bagi ketuhar gelombang mikro atau RM50 bagi periuk nasi.

8. Bagi pemilik-pemilik syarikat yang merupakan pengguna elektrik di bawah kategori industri atau komersial yang menggunakan lebih 3 juta kWj dalam tempoh enam bulan berturut-turut di premis mereka dan berdaftar di bawah Peraturan Tenaga Elektrik 2008 boleh memohon dana melalui “Program Geran Audit Tenaga Bersyarat dan Pengurusan Tenaga dalam Sektor Industri dan Komersial" untuk melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga – Energy Service Company (ESCO) bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di premis dan pepasangan mereka. Insiatif-inisiatif tersebut bukan sahaja dapat membantu mengurangkan bil elektrik bagi pengguna bukan domestik, malah ia dapat dilihat sebagai usaha ke arah melestarikan perniagaan masing-masing dalam memenuhi komitmen ESG mereka.

9. Kerajaan turut mengambil inisiatif menukar lampu jalan kepada lampu jenis cekap tenaga seperti lampu Light Emitting Diode (LED) yang boleh menjimatkan bil elektrik untuk jangka masa panjang di bandar-bandar terpilih di Semenanjung Malaysia. Dalam tempoh kawal selia kedua (RP2) iaitu dari tahun 2018 hingga 2021, sebanyak 544,561 unit lampu jalan LED telah dipasang. Selanjutnya, Kerajaan telah bersetuju untuk memasang sebanyak 67,993 unit lampu jalan LED pada tahun 2022 di 10 lokasi terpilih di Semenanjung Malaysia. Pemasangan ini adalah menggunakan baki lampu jalan LED di bawah RP2. Sehingga 6 Julai 2022, sebanyak 25,002 unit lampu jalan LED telah dipasang.

10. Kerajaan juga melaksanakan program-program kesedaran mengenai kecekapan tenaga secara konsisten di pelbagai peringkat termasuk penyebaran maklumat kepada masyarakat setempat dan pengguna awam seperti pertandingan Energy Efficiency (EE) Challenge di peringkat sekolah, kempen-kempen promosi dan informasi kepada orang awam melalui pelbagai platform media massa, sosial dan elektronik.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DR L84 01.08.2022 - Dato' Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus].pdf