Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

01 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

98

Soalan

DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID (PENGERANG) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh Kementerian untuk mengurangkan risiko tanah runtuh terutama di kawasan FELDA dan Taman ​Mutiara Desaru, Bandar Penawar di kawasan Parlimen Pengerang.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Fenomena bencana geologi tanah runtuh telah dikenal pasti menjadi suatu ancaman yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda hingga membawa kerugian besar kepada negara. Dalam hal ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang mempunyai kepakaran dalam bidang geologi diberi tanggungjawab dalam usaha-usaha mengurangkan risiko bencana geologi tanah runtuh amnya.

2. Bagi tujuan pencegahan, JMG menjalankan kerja-kerja pemantauan cerun kritikal di seluruh negara (kecuali cerun sepanjang jalan dan lebuhraya di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi) secara berkala. Maklumat cerun kritikal ini dikemaskini dan dikongsi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi tindakbalas bencana (Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat) dan teknikal yang terlibat dalam pengurusan cerun (Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dari semasa ke semasa.

3. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sehingga April 2021, terdapat 25 cerun kritikal di seluruh negeri Johor yang sedang dalam pemantauan JMG yang terdiri daripada tujuh (7) cerun kritikal tahap tinggi, tujuh (7) cerun kritikal tahap sederhana dan sebelas (11) cerun kritikal tahap rendah.

4. Sejumlah lapan (8) cerun dikenalpasti berada dalam Parlimen Pengerang, Daerah Kota Tinggi.  Tiga (3) cerun berada pada tahap kritikal tinggi iaitu satu (1) cerun di Felda Semenchu dan dua (2) cerun di kawasan sekitar penempatan Bukit Pelali. Sejumlah tiga (3) cerun pula berada pada tahap kritikal sederhana iaitu di Kawasan Tangki Air SAJ, Bukit Pelali, Kampung Bukit Raja dan Jalan Flora, Sebana Cove manakala dua (2) cerun pada tahap kritikal rendah iaitu di Jalan Gunung Panti enam (6) dan di Persiaran Bukit Pelali.

5. Selain itu, bagi kawasan Taman Mutiara Desaru, tiada aduan tanah runtuh diterima oleh pihak JMG. Walau bagaimanapun, hasil daripada lawatan tapak dan maklumat daripada pihak Majlis Perbandaran Pengerang, kerja-kerja baikpulih cerun yang telah runtuh sedang diambil tindakan oleh pihak Majlis Perbandaran Pengerang bermula 5 April 2022.

6. Bagi tujuan tindakbalas bencana tanah runtuh, JMG menjalankan pemeriksaan tapak bencana dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja menerima maklumat kejadian bencana. Penilaian tahap keselamatan dibuat sejurus tiba di tapak bencana bagi memastikan kumpulan penyiasat JMG dan Agensi Tindakbalas seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk Agensi Teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak terdedah kepada ancaman runtuhan susulan.

7. Bagi tujuan kesiapsiagaan dan pengurusan bencana pula, JMG melaksanakan penzonan kawasan bencana mengikut tahap risiko yang terbahagi kepada dua (2) iaitu zon bahaya dan zon kawalan. Zon Bahaya berada dalam perimeter jasad tanah runtuh manakala Zon Kawalan adalah kawasan yang mengelilingi Zon Bahaya yang mempunyai ciri-ciri geologi dan geomorfologi cerun yang sama dengan Zon Bahaya serta terdapatnya tanda-tanda pergerakan tanah. Kesemua inisiatif yang dilaksanakan ini adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard Di Kawasan Zon Bencana Tanah Runtuh (JMG. SOP.01).

8. Penglibatan KeTSA melalui JMG dalam usaha-usaha ini diharap akan membantu Agensi berkaitan dan Kerajaan Negeri dalam membuat tindakan mitigasi bersesuaian bagi mendepani isu-isu bencana geologi tanah runtuh dan mengurangkan kesannya ke atas masyarakat dan negara.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DR L98 01.08.2022 - Dato' Sri Azalina Othman Said [Pengerang].pdf