Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

19

Soalan

DATO' RAMLI BIN DATO' MOHD NOR (CAMERON HIGHLANDS) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah status terkini mangsa yang tertimbus dalam kejadian runtuhan batu tapak k​uari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. â€‹

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menerima laporan kejadian runtuhan batu kuari di Kuari Danshak Sdn. Bhd (No.2) di Mukim Sg. Raia, Daerah Kinta pada 8 Mac 2022. Kejadian tersebut melibatkan dua pekerja dan dua jentera yang dilaporkan tertimbus di bawah runtuhan batu kuari.

2. Kejadian runtuhan batu berkemungkinan berpunca daripada struktur geologi bukit batu kapur tersebut yang mempunyai banyak rongga dan rekahan. Runtuhan batu dipercayai berlaku di bahagian lereng bukit yang berketinggian 200 meter dan menyebabkan gelinciran batu sejauh lebih kurang 150 meter.

3. Susulan daripada pemerhatian dan siasatan di kawasan kejadian, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak, JMG Negeri Perak dan Pegawai Daerah Kinta telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan aktiviti pengkuarian serta merta kepada pengusaha kuari yang terlibat. Selain itu, PTG Negeri Perak turut mengeluarkan arahan untuk menghentikan sementara kerja-kerja penggerudian, peletupan dan pemecahan batu secara mekanikal kepada kuari berdekatan bagi membolehkan kerja mencari dan menyelamat dijalankan.

4. Kerja mencari dan menyelamat telah bermula pada 8 Mac 2022 melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, PTG Negeri Perak dan JMG Negeri Perak. Kerja mencari dan menyelamat dijalankan berpandukan nasihat teknikal daripada pihak JMG terhadap tahap keselamatan dan kestabilan kawasan runtuhan batu.

5. Pada 7 April 2022, satu Mesyuarat Khas Kerja-Kerja Mencari dan Menyelamat (SAR) telah diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh dan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kinta. Mesyuarat tersebut memutuskan untuk mengurangkan bilangan anggota yang terlibat dalam aktiviti mencari dan menyelamat. Namun, pihak pengusaha kuari diminta untuk meneruskan kerja mencari dan menyelamat sehingga mangsa yang dipercayai tertimbus dapat ditemui.

6. Operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian masih diteruskan sehingga kini oleh Pihak penguasa kuari dan Jurutera Perunding kerana dua orang mangsa dan jentera yang dipercayai tertimbus belum ditemui. Antara langkah yang dilakukan ialah kerja peletupan sekunder di lokasi kejadian bagi memecahkan bongkahan batuan dan memindahkan batuan daripada lokasi kejadian. Operasi ini akan terus dipantau oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta dibantu oleh JMG Negeri Perak.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DR L19 04.08.2022 - Dato' Ramli Dato' Mohd Nor [Cameron Highlands].pdf