Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

84

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDAM (KUALA LANGAT) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan status terkini dalam usaha pengeluaran REE (Unsur Nadir Bumi) dan juga langkah-langkah diambil untuk pembangunan industri ​REE. ​

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,

1. Pada masa ini, pelaksanaan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak yang merupakan projek perlombongan NR-REE yang pertama di Malaysia telah mendapat kelulusan daripada agensi-agensi teknikal yang terlibat. Kelulusan-kelulusan tersebut adalah seperti Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 11 Mei 2022, kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pada 26 Mei 2022 dan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) oleh Majlis Daerah Gerik pada 7 Jun 2022.

2. Walaupun kelulusan-kelulusan telah diperolehi, sehingga kini projek tersebut masih belum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan. Hal ini kerana, pada masa ini pihak pengusaha lombong tersebut masih perlu menjalankan kerja-kerja pembangunan infrastruktur di kawasan tapak tersebut sebelum aktiviti perlombongan NR-REE boleh dijalankan. Berdasarkan perancangan, aktiviti perlombongan secara perintis dijangka dapat dimulakan seawal bulan Ogos 2022 dan hasil pertama dijangka dapat dikeluarkan pada bulan November 2022.

3. Bagi memastikan aktiviti perlombongan khususnya di tapak projek perintis tersebut dijalankan secara bertanggung jawab dan mampan, pihak Kementerian telah menyediakan dokumen Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) Negeri Perak. Pemakaian SOP ini di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak sebagai panduan bagi mengawal selia aktiviti perlombongan NR-REE di Negeri Perak khususnya di tapak projek perintis telah dimuktamadkan.

4. SOP ini telah disemak dan dinilai oleh satu Jawatankuasa Eksekutif yang terdiri daripada individu yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang berkaitan. Ia menggariskan aspek-aspek yang perlu dipatuhi di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan. Sekiranya Kerajaan mendapati SOP ini mampu mengawal selia aktiviti perlombongan dengan baik dan memberikan kesan yang minimum kepada alam sekitar, Kementerian akan memperluaskan pemakaiannya ke negeri-negeri lain bagi membolehkan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan.

5. Mengenai langkah yang diambil bagi membangunkan industri NR-REE ini, saya ingin menegaskan bahawa Kementerian amat komited dalam memastikan pembangunan industri ini dibangunkan secara bertanggungjawab dan mampan. Kementerian mensasarkan industri ini dibangunkan secara menyeluruh melalui pewujudan industri NR-REE di setiap peringkat rantaian nilai yang bermula dari peringkat huluan hingga hiliran. Usaha Kerajaan dalam membangunkan peringkat huluan telah dinyatakan sebelum ini dengan memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam dokumen SOP Perlombongan NR-REE.

6. Bagi pembangunan industri NR-REE di peringkat pertengahan, Kementerian telah membentangkan cadangan konseptual pembangunan loji pemprosesan terpusat (Centralised Processing Plant - CPP) dalam mesyuarat bersama Kerajaan Negeri Perak pada 18 November 2021. Antara perkara yang diberikan perhatian dalam cadangan tersebut adalah dari aspek skala pelaburan untuk pembangunan CPP, perolehan teknologi pemprosesan, parameter ekonomi dan sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang perlu diberi pertimbangan sekiranya CPP ingin dibangunkan.

7. Di samping itu juga, kementerian turut mengadakan sesi libat urus bersama agensi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perak (BPEN) berhubung cadangan insentif yang boleh diperkenalkan sekiranya CPP ini dibangunkan.

8. Langkah-langkah ini bertujuan membantu pencapaian objektif Kementerian bagi membangunkan industri NR-REE secara menyeluruh dari peringkat huluan hingga ke peringkat hiliran. Ini juga bagi mengelakkan sumber NR-REE dieksport secara mentah ke luar negara dan menggalakkan ia diproses bagi mendapatkan nilai tambah yang tinggi. Namun demikian, harus diakui bahawa, pada masa ini kepakaran untuk membangunkan CPP masih belum terdapat di Malaysia.

9. Memandangkan industri NR-REE ini merupakan industri baharu yang bakal dibangunkan di Malaysia, Kementerian sedang berusaha untuk mengumpulkan data dan maklumat yang lengkap berhubung keseluruhan ekosistem pembangunan industri NR-REE ini. Bagi tujuan tersebut, Kementerian telah mengambil inisiatif dengan melantik pihak Akademik Sains Malaysia (ASM) untuk menjalankan kajian cadangan model perniagaan (business model) pembangunan industri NR-REE di Malaysia. Kajian ini akan memberi kefahaman yang jelas terhadap keseluruhan ekosistem industri NR-REE yang bakal dibangunkan, di mana penghasilan dokumen ini boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada semua pihak khususnya bagi pihak kerajaan dan pemain industri dalam membangunkan industri NR-REE.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DR L84 04.08.2022 - Dato' Dr. Xavier Jayakumar [Kuala Langat].pdf