Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

106

Soalan

PUAN HAJAH FUZIAH BINTI SALLEH (KUANTAN) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan jumlah kawasan peratusan hutan simpanan kekal yang telah dinyahwartakan di setiap negeri tanpa konsultasi awam dan juga jumlah kawasan tersebut yang digantikan bagi setiap negeri dengan menjelaskan kaedah penggantian hutan simpanan kekal yang telah dinyahwartakan.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan rekod yang dikemukakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), jumlah keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung yang diwarta keluar bagi tempoh tahun 2017 hingga 2021 adalah 0.95 peratus atau 45,473 hektar, manakala jumlah keluasan HSK yang diwarta masuk bagi tempoh yang sama adalah 1.57 peratus atau 75,637.40 hektar.

2. Kesemua pewartaan keluar kawasan HSK di Semenanjung Malaysia kecuali negeri Selangor adalah tanpa konsultasi atau siasatan awam (public hearing). Di Semenanjung, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) hendaklah menggantikan kawasan tanah yang dikeluarkan daripada HSK di bawah seksyen 11, Akta 313 dengan sesuatu kawasan tanah yang lebih kurang sama luasnya sebagai HSK baharu. Manakala di Selangor, terdapat sedikit perbezaan di mana PBN perlu mengadakan siasatan awam sebelum sesuatu kawasan HSK diwarta keluar dan HSK yang telah diwarta keluar perlu digantikan dengan suatu kawasan tanah yang sama luas atau lebih besar selaras dengan pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2011.

3. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang melaksanakan pindaan ke atas Akta 313. Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 telah dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 3 Mac 2022 dan baharu selesai bacaan kali kedua dan ketiga pada 18 Julai 2022. Pindaan yang dicadangkan kepada Akta 313 pada kali ini meliputi:

(i) keperluan untuk mengadakan siasatan awam (public hearing) sebelum sesuatu kawasan HSK diwarta keluar; dan

(ii) keperluan penggantian serentak HSK yang diwarta keluar dengan suatu kawasan tanah yang sama luas atau lebih besar.

4. Cadangan pindaan ini bertujuan memperketatkan proses pewartaan keluar HSK dan dalam masa yang sama akan mengurangkan tekanan pembangunan ke atas kawasan HSK sedia ada. Melalui pindaan ini juga, pewartaan keluar HSK bagi tujuan pembangunan akan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh Pihak Berkuasa Negeri setelah semua aspek due-diligence dengan izin, dilaksanakan.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DR L106 04.08.2022 - PUAN HAJAH FUZIAH SALLEH (Kuantan).pdf