Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

08 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

9

Soalan

DATO' ARMAN AZHA BIN ABU HANIFAH minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan bentuk intervensi yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membantu Zoo Negara terutama dari segi pembangunan fasiliti, perlindungan serta penyelidikan saintifik dan juga sumber makanan berkhasiat untuk haiwan-haiwan di sana dalam memastikan Zoo Negara terus kekal mampan berdepan dengan apa jua cabaran dan​ ketidaktentuan ekonomi.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Zoo Negara dimiliki oleh Malaysia Zoological Society (MZS) yang merupakan sebuah badan bukan Kerajaan (NGO). Zoo Negara diberikan permit pengendalian zoo secara tahunan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

2. Kerajaan amat memahami bahawa kebanyakan Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) telah terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi. Dalam usaha menangani situasi ini, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu ZPT termasuk Zoo Negara meneruskan kelangsungan operasi. Antara bantuan yang telah diberikan kepada Zoo Negara adalah seperti berikut:

(i) peruntukan berjumlah RM50.3 juta sejak Rancangan Malaysia ke-7 bagi pembangunan infrastruktur;

(ii) peruntukan di bawah Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar berjumlah RM4.25 juta bagi tempoh 2020 hingga 2021 dan RM359,647.00 bagi tahun 2022 bagi menampung kos operasi termasuk keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan.

(iii) pemberian diskaun 15% bil elektrik selama enam (6) bulan kepada semua ZPT di Semenanjung Malaysia di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) serta pemberian diskaun 10% bil elektrik di bawah Pakej Bantuan PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA+ dan PEMULIH bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021;

(iv) pengagihan daging dan ikan sejuk beku yang disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan anggaran berat sebanyak 170 tan yang bernilai lebih kurang RM3.44 juta kepada ZPT termasuk Zoo Negara; dan

(v) penyediaan bantuan teknikal dalam pengurusan husbandri seperti khidmat nasihat dan bantuan kepakaran kakitangan serta pegawai veterinar Jabatan PERHILITAN dalam aktiviti pemindahan hidupan liar dan pemantauan tahap kesihatan.

3. Selain itu, usaha telah diambil untuk membangunkan Model Baharu ZPT dan mengkaji semula peraturan-peraturan berkaitan pengendalian ZPT di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 [Akta 716] melalui sesi konsultasi dengan ZPT dan Malaysian Association of Zoological Park and Aquaria (MAZPA). Inisiatif jangka panjang ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan ZPT kepada Kerajaan, mengukuhkan operasi ZPT supaya lebih berdaya maju serta memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DN L9 08.08.2022 - Dato' Arman Azha Abu Hanifah.pdf