Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

08 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

70

Soalan

PUAN LIM HUI YING minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan status​ perancangan terhadap penerokaan mineral elemen nadir bumi atau Rare Earth Element (REE) di Ulu Muda yang bakal mencemarkan Sungai Muda dan secara tidak langsung akan menjejaskan bekalan air serta mengancam 4.2 juta penduduk di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Melalui semakan daripada rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah, terdapat 2 permohonan Lesen Penjelajahan dan 1 Lesen Mencarigali untuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) telah diterima bagi Kawasan Hutan Simpan Ulu Muda. Namun demikian, sehingga 25 Julai 2022, tiada sebarang Lesen Penjelajahan dan Lesen Mencarigali yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah bagi kawasan Hutan Simpan Ulu Muda.

2. Selain itu, semakan juga mendapati 1 Lesen Penjelajahan pernah dikeluarkan Pihak Berkuasa Negeri Kedah pada 26 Januari 2021 kepada sebuah syarikat usaha sama untuk kawasan seluas 1,220 hektar di atas kawasan yang merangkumi tanah milik persendirian, tanah ladang hutan, tanah Kerajaan di Mukim Jeneri dan sebahagian Hutan Simpan Bukit Enggang. Aktiviti penjelajahan tersebut dikawalselia oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah mengikut Enakmen Mineral Negeri Kedah 2004.

3. Sehingga 25 Julai 2022, terdapat 1 permohonan untuk pajakan melombong NR-REE telah diterima oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah untuk kawasan yang pernah dikeluarkan lesen penjelajahan tersebut di atas. Permohonan tersebut telah dilulus pada 24 April 2022 oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah.

4. KeTSA juga amat menekankan prinsip perlombongan secara bertanggung jawab dan mampan. Dalam hal ini, walaupun KeTSA menggalakkan usaha membangunkan industri mineral, namun KeTSA masih berpendirian tidak akan menyokong dan mengeluarkan apa-apa Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sekiranya permohonan perlombongan adalah di atas tanah berstatus HSK atau rizab perlindungan dan kawasan yang diwartakan sebagai KSAS.

5. Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE di Malaysia telah berada di peringkat akhir penyediaan dan boleh menjadi rujukan kepada semua Pihak berkuasa Negeri sekiranya ingin menjalankan perlombongan NR-REE di negeri masing-masing. SOP Perlombongan NR-REE Di Malaysia tersebut merangkumi semua perundangan yang sedang berkuatkuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral Negeri, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

6. Sekiranya Kerajaan Negeri Kedah hendak menjalankan perlombongan NR-REE, beberapa kelulusan termasuk Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Kebenaran Merancang, perlulah diperolehi terlebih dahulu. Aktiviti perlombongan NR-REE ini merupakan sebahagian aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015. Sebarang aktiviti yang ditetapkan hendaklah mengemukakan Laporan EIA kepada Jabatan Alam Sekitar untuk pertimbangan dan kelulusan.

7. Kerajaan yakin bahawa dengan pematuhan segala peraturan dan SOP yang ditetapkan akan dapat membantu melindungi dan memelihara daripada sebarang aktiviti yang boleh menganggu gugat kawasan tadahan sumber air Sungai Muda.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DN L70 08.08.2022 - Puan Lim Hui Ying.pdf