Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

09 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

99

Soalan

DATO' HAJI HUSAIN BIN AWANG minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan tindakan komprehensif yang akan dilaksanakan oleh Kementerian bagi mengurangkan risiko bencana geologi alira​n puing yang begitu kerap berlaku dalam negara kita sejak kebelakangan ini.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Corak kejadian bencana geologi aliran puing yang meningkat sejak kebelakangan ini, seiring dengan perubahan iklim, amat membimbangkan kerana ia berlaku dengan tiba-tiba dan pantas, serta kesan kemusnahannya yang besar terhadap infrastruktur, tempat tinggal dan kehilangan nyawa penduduk terutamanya di kawasan berdekatan lembangan sungai.

Sehubungan itu, Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) komited dalam usaha mengurangkan risiko bencana geologi aliran puing menerusi usaha-usaha seperti berikut:

(i) Membangunkan Sistem Amaran Awal (Early Warning System - EWS) Bencana Geologi Aliran Puing secara bersasar dan berperingkat di kawasan yang telah dikenalpasti terdedah kepada ancaman bahaya dan risiko bencana geologi ini. EWS ini bertujuan memberi amaran berbentuk siren kepada penduduk kampung untuk keluar menyelamatkan diri dengan cara selamat sekiranya berlaku kejadian bencana geologi aliran puing. Bagi tujuan tersebut, JMG telah membangunkan EWS Bencana Geologi Aliran Puing berasaskan komuniti di Titi Hayun, Gunung Jerai, Kedah pada Februari 2022 yang lalu.

(ii) Melaksanakan program pemerkasaan komuniti berkonsepkan Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) di kawasan komuniti rentan yang tinggal di kawasan bencana geologi ini. Melalui program ini, jaguh tempatan (local champion) yang terpilih daripada pemimpin masyarakat, belia dan kaum wanita akan diberikan pengetahuan dan latih-amal bagi membolehkan mereka berupaya bertindak sebagai responden awal melaksanakan tindakan awal sekiranya berlaku kejadian bencana geologi.

(iii) Menjalankan Projek Pemetaan Zon Bahaya dan Zon Kawalan di Kawasan Rentan Bencana Geologi Aliran Puing bagi kesiapsiagaan komuniti yang telah bermula pada tahun 2023. Melalui projek ini, data geospatial dan peta zon bahaya dan kawalan bagi kawasan berisiko yang telah dikenalpasti akan dihasilkan supaya dapat dikongsikan kepada agensi teknikal dan penyelamat berkaitan dalam pengurusan bencana. Di samping itu, modul kesiapsiagaan komuniti dan kerangka konsep mitigasi terhadap bencana geologi aliran puing juga akan dibangunkan dan digunakan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dan mempercepatkan proses kerja mitigasi bagi mengurangkan impak bencana geologi aliran puing.

Semua inisiatif tersebut adalah bukti komitmen Kerajaan Malaysia terhadap agenda global dalam pengurangan risiko bencana melalui United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 dan menjadi aspirasi nasional dalam konteks Keluarga Malaysia bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan dan mengukuhkan daya tahan setempat.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DN L99 09.08.2022 - Dato' Haji Husain bin Awang.pdf