Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi meningkatkan penerokaan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) secara meluas serta mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api yang diimport, Kerajaan akan melakukan usaha-usaha berikut:
(i) menetapkan sasaran makro peningkatan campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik kepada 31% pada tahun 2025 dan 40% pada tahun 2035 berbanding kapasiti sedia ada iaitu 23%;
(ii) memperkenalkan dokumen Malaysia Renewable Energy Roadmap atau MyRER sebagai pelan pelaksanaan yang akan memandu dan memacu pelaksanaan program TBB, bagi mencapai sasaran TBB yang telah ditetapkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber bahan api diimport bagi penjanaan elektrik negara;
(iii) memantau dan memastikan pembangunan semua projek TBB yang telah diluluskan oleh Kerajaan sama ada di bawah program Tarif Galakan (Feed in Tariff – FiT) atau program Solar Berskala Besar (Large Scale Solar – LSS) disiapkan dan beroperasi secara komersial mengikut jadual yang ditetapkan;
(iv) menggalakkan pemasangan sistem solar atas bumbung melalui pelaksanaan Program Pemeteran Bersih (Net Energy Metering – NEM); dan
(v) meningkatkan kapasiti sumber bukan solar seperti biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil melalui pelaksanaan mekanisme Tarif Galakan (FiT).
Sekian, terima kasih.