Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

11 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

9

Soalan

TUAN IR. TS. HAJI KHAIRIL NIZAM BIN KHIR​UDIN minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan jumlah subsidi yang telah dan akan diperuntukkan oleh Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan tiada kenaikan tarif elektrik untuk membantu rakyat menghadapi tekanan inflasi.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,\

1. Pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) disemak setiap enam bulan sekali dengan mengambil kira kos bahan api dan kos penjanaan yang lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.

2. Sejak Januari 2021 hingga Jun 2022, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM715 juta bagi mengekalkan rebat 2 sen/kWj kepada semua pengguna domestik walaupun bermula Januari 2022, surcaj sebanyak 3.70 sen/kWj sepatutnya dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi pengguna bukan domestik, bermula Januari hingga Jun 2022, surcaj sebanyak 3.70 sen/kWj telah dilepaskan kepada semua pengguna bukan domestik menjadikan bil elektrik mereka naik sebanyak 5.70 sen/kWj mulai Januari hingga Jun 2022.

3. Seterusnya, kadar surcaj ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 telah meningkat kepada 11.81 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna dengan kos ICPT sebanyak RM7 bilion. Namun begitu, YAB Perdana Menteri pada 24 Jun 2022 telah mengumumkan supaya rebat 2 sen/kWj kepada semua pengguna domestik dan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik dikekalkan di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022 dengan kos keseluruhan subsidi berjumlah RM5.8 bilion. Dalam hal ini, semua pengguna di Semenanjung akan membayar bil elektrik pada kadar yang sama seperti yang dibayar sejak Januari 2022 berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing.

4. Oleh yang demikian, Kerajaan menampung subsidi tarif elektrik berjumlah RM6.515 bilion pada tahun 2022 bagi memastikan tiada kenaikan tarif elektrik untuk membantu rakyat menghadapi tekanan inflasi.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DN L9 11.08.2022 - YB SENATOR IR. TS. HAJI KHAIRIL NIZAM.pdf