Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 August 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

7

Soalan

DR. WAN MARTINA BINTI WAN YUSOFF minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah Kerajaan akan menaikkan tarif elektrik dalam masa terdekat dan apakah langkah yang telah dibuat untuk mengekang kenaikan tarif elektrik.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pelarasan tarif elektrik melalui Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) disemak setiap enam bulan sekali dengan mengambil kira kos bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang. Dalam hal ini, kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 adalah sebanyak RM7 bilion bersamaan kadar surcaj 11.81 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.

2. Namun begitu, YAB Perdana Menteri pada 24 Jun 2022 telah mengumumkan pengekalan rebat 2 sen/kWj kepada semua pengguna domestik dan pengekalan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022.

Dalam hal ini, tiada kenaikan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022 kepada semua pengguna di Semenanjung kerana kadar yang sama akan dibayar oleh pengguna seperti sepanjang enam bulan pertama tahun ini berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing.

Kerajaan menampung kos keseluruhan subsidi berjumlah RM5.8 bilion yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bagi mengekang kenaikan tarif elektrik tersebut.

3. Semakan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme ICPT yang berikutnya akan dilaksanakan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2023. Berdasarkan analisis daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), harga bahan api di pasaran global masih kekal tinggi berikutan impak peperangan di antara Rusia dan Ukraine sejak Mac 2022 dan permintaan bahan api arang batu yang tinggi daripada negara-negara luar.

Oleh itu, Kementerian telah merancang beberapa pelan mitigasi jangka panjang bagi mengatasi krisis tenaga dan kos ICPT yang dijangka meningkat, antaranya mengutamakan bahan api yang paling murah (least cost dispatch) untuk penjanaan elektrik dan seterusnya akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran ICPT yang akan datang.

4. Selain itu, Kementerian juga telah menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara antaranya adalah dengan meningkatkan campuran tenaga boleh baharu kepada 31% pada tahun 2025 dan 40% pada tahun 2035 sebagaimana sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER).

5. Seterusnya, Kementerian juga akan terus melaksanakan pelan komunikasi yang komprehensif dan mudah difahami oleh rakyat. Sebagai langkah awal, mulai Julai 2022, jumlah subsidi bil elektrik yang ditampung oleh Kerajaan telah dipaparkan dalam bil elektrik bulanan setiap pengguna supaya rakyat memahami dan menghargai subsidi ditanggung oleh Kerajaan bagi seunit elektrik yang digunakan.

6. Kementerian juga meneruskan kerjasama dengan kementerian-kementerian lain yang berkaitan, ST, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya meneruskan usaha mengenai kempen kesedaran dan penjimatan penggunaan elektrik di media sosial, media cetak dan lain-lain platform yang bersesuaian sebagai langkah memupuk penggunaan tenaga elektrik yang cekap di kalangan pengguna. Ini diharap dapat membantu mengurangkan kos operasi syarikat serta perbelanjaan isi rumah, terutama ketika negara dan dunia dilanda ketidaktentuan ekonomi pada masa ini.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DN LISAN NO. 7 - Dr. Wan Martina Wan Yusoff.pdf