Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

5

Soalan

DATO' HAJI JEFRIDIN BIN HAJI ATAN minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan statistik kawasan gunung atau bukit yang memerlukan permit mendaki dan juga khidmat Malim gunung sehingga suku kedua tahun ini. Apakah perkembangan semasa peraturan baharu oleh Jabatan Perhutanan bermula awal tahun ini yang menguatkuasakan setiap aktiviti pendakian di bukit atau gunung yang mempunyai ketinggian melebihi 457.2 meter di Semenanjung perlu menepati nisbah setiap seorang jurupandu bersamaan tujuh peserta.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini terdapat 211 kawasan pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia yang dikenakan permit masuk bagi tujuan pendakian. Berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dari bulan Januari hingga Jun 2022, seramai 79,428 orang pendaki telah pun mengambil permit masuk.

2. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan pelaksanaan Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang dicadangkan pada tahun 2021 telah ditunda kepada tahun 2023 bagi membolehkan pihak JPSM menyediakan seramai 1,000 orang MGP di Semenanjung Malaysia menerusi Program Reskill dan Upskill Latihan Ekopelancongan Sumber Asli. Sehingga kini, seramai 766 orang telah mendapat pensijilan sebagai MGP yang melibatkan seramai 180 orang di negeri Johor, 120 orang di negeri Terengganu, 110 orang di negeri Pahang, 60 orang di negeri Kedah, 179 orang di negeri Perak dan 117 orang di Negeri Sembilan.

3. JPSM telah melaksanakan program MGP bagi mengurus pelawat yang mendaki kawasan bukit dan gunung yang mempunyai tahap risiko yang tinggi terutama kawasan pendakian yang mempunyai ketinggian melebihi 457.2 meter atau 1500 kaki. Nisbah seorang MGP bersamaan tujuh pendaki mula diperkenalkan pada tahun 2021 dalam kawasan pendakian di Semenanjung Malaysia bagi mengawal had daya tampung (carrying capacity) kawasan pendakian, memastikan keselamatan para pendaki lebih terjamin serta membolehkan sebarang tindakan awal diambil jika berlaku sebarang kecemasan.

Sekian, terima kasih.​

Attachments
DN BL NO. 5 - Dato' Haji Jefridin bin Haji Atan.pdf