Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

55

Soalan

TUAN IR. TS. HAJI KHAIRIL NIZAM BIN KHIRUDIN minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah langkah Kementerian dalam memperluaskan sistem amaran awal bencana geologi di kawasan berisiko tinggi agar dapat mengela​kkan berulangnya tragedi banjir kepala air yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Pembangunan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran Puing (Early Warning System – EWS) di kawasan berisiko yang dikenalpasti merupakan antara langkah yang dapat mengurangkan risiko bencana geologi aliran puing. Di samping itu, elemen penglibatan komuniti tempatan secara aktif turut diterapkan ke dalam skop projek ini bagi meningkatkan semangat kerjasama dan kebersamaan di kalangan masyarakat rentan yang terdedah kepada bencana geologi ini.

Sehubungan itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan terus memperluaskan sistem amaran awal (EWS) bencana geologi di kawasan berisiko tinggi menerusi langkah-langkah seperti berikut:

1. Membangunkan Sistem Amaran Awal (Early Warning System) Bencana Geologi Aliran Puing secara bersasar dan berperingkat di kawasan berisiko yang telah dikenalpasti terdedah kepada ancaman bencana geologi ini. Sebagai permulaan, KeTSA melalui JMG telah siap membangunkan projek perintis EWS Bencana Geologi Aliran Puing Berasaskan Komuniti di Titi Hayun, Gunung Jerai, Kedah pada Februari 2022 dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pembangunan EWS ini akan diperluaskan ke kawasan-kawasan berisiko /hotspot aliran puing mengikut tahap keutamaannya.

2. Menjalankan kajian penilaian bahaya dan risiko bencana aliran puing di Taman Negeri dan Taman Eko Rimba (TER) yang sering dikunjungi orang awam, menerusi penubuhan pasukan taskforce yang dianggotai JMG, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Pusat Geospatial Negara (PGN) dan PLANMalaysia diurusetiakan oleh KeTSA. Kajian ini telah selesai pada Mac 2022. Menerusi kajian ini, antara langkah mitigasi yang dicadangkan adalah melaksanakan pembangunan EWS di kawasan TER yang mempunyai risiko kepada pengunjung dan penduduk di sekitarnya secara bersasar dan berkeutamaan berdasarkan tahap bahaya dan risiko TER tersebut. Pembinaan EWS di TER terlibat akan dimulakan pada tahun 2023.

3. Memperluaskan kerja pemantauan cerun ke kawasan Taman Eko Rimba yang terdedah kepada ancaman bencana geologi tanah runtuh dan aliran puing dan risiko keselamatan kepada pengunjung dan penduduk sekitarnya. Kerja pemantauan dijadualkan bermula tahun 2023. Menerusi usaha ini, cerun-cerun yang tidak stabil di sekitar TER terlibat dapat diinventorikan dan dipantau secara berterusan dan diambil tindakan mitigasi yang sewajarnya.

Sekian, terima kasih.​

Attachments
DN BL NO. 55 - Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin.pdf