Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

107

Soalan

TUAN CHARLES ANTHONY SANTIAGO (KLANG) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan insentif-insentif yang Kementerian telah sediakan bagi menggalakkan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kawasan hutan, te​rutamanya hutan simpanan kekal, bagi tujuan penyelidikan, rekreasi atau eko-pelancongan.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) pada tahun 2019 sebagai satu bentuk insentif kepada Kerajaan-kerajaan Negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan (protected areas - PA). Pemberian insentif melalui EFT menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam konservasi biodiversiti serta menggalakkan Kerajaan Negeri mewartakan kawasan perlindungan yang merupakan kawasan penting bagi perkhidmatan ekosistem (ecosystem services) termasuk sebagai kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.

2. Sejak diperkenalkan, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan EFT sebanyak RM60 juta pada tahun 2019 dan RM70 juta pada tahun 2021 kepada Kerajaan-kerajaan Negeri melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Bermula tahun 2022, pelaksanaan EFT telah diletakkan di bawah seliaan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) selaras dengan keputusan Majlis Kewangan Negara Tahun 2021. YB Menteri Kewangan semasa menyampaikan ucapan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021 juga telah mengumumkan peruntukan EFT berjumlah RM70 juta akan disediakan setiap tahun kepada semua negeri.

3. Selain itu, Mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus) telah dibangunkan di bawah United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) bertujuan untuk memberikan nilai kewangan terhadap penyerapan karbon oleh hutan serta menawarkan insentif kepada negara-negara membangun bagi mengekalkan hutan dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada aktiviti perhutanan. Pada masa ini, KeTSA sedang memuktamadkan Kerangka Kewangan REDD Plus atau REDD Plus Finance Framework (RFF) yang merupakan satu inisiatif kewangan kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan aktiviti mengekalkan dan memulihara hutan serta menjamin ekosistem hutan yang berterusan. Bagi melaksanakan pengoperasian RFF, KeTSA juga telah menubuhkan sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) iaitu Malaysia Forest Fund atau MFF.

4. Sebagai tambahan, pada tahun 2022, KeTSA telah menerima peruntukan berjumlah RM9.15 juta melalui sumber Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi pelaksanaan projek menaik taraf dan baik pulih kemudahan-kemudahan ekopelancongan serta Pembangunan Sistem Amaran Awal Risiko Kepala Air (Early Headwater Risk Warning System) yang melibatkan 25 lokasi Taman Eko Rimba dan Taman Negeri.

5. Di samping itu, KeTSA juga sedang melaksanakan Program Latihan dan Kemahiran Semula (Reskill and Upskill) Ekopelancongan Sumber Asli dengan meletakkan sasaran untuk melatih seramai 1,000 orang Malim Gunung Perhutanan (MGP). Peranan MGP akan turut menjadi mata dan telinga kepada Jabatan Perhutanan Negeri bagi penguatkuasaan pencerobohan hutan dan kegiatan pemburuan haram. Bagi tujuan tersebut, sejumlah RM1.46 juta telah diluluskan dan diperuntukkan oleh MOF kepada KeTSA melalui Kumpulan Wang Covid-19.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DR BL107 - TUAN CHARLES ANTHONY SANTIAGO [Klang].pdf