Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

15 February 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

47

Soalan

TUAN CHOW KON YEOW [ BATU KAWAN ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan inisiatif Kementerian dalam mengatasi peningkatan bilangan kenderaan tidak mesra alam (pengangkutan berasaskan bahan api fosil seperti petrol dan gas) yang mencetuskan pelbagai isu alam sekitar antaranya pemanasan global, pencemaran Gas Rumah Hijau (GHG) dan lain-lain. Apakah yang dilakukan/perancangan Kementerian dalam menghadapi krisis iklim bagi tempoh 2018 hingga 2023. Senaraikan juga insentif-insentif yang diberikan/ditawarkan kepada Kerajaan Negeri yang melaksanakan agenda hijau pada tempoh sama.​​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah membangunkan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (Low Carbon Mobility Blueprint – LCMB) yang menggariskan fokus dan strategi bagi merealisasikan mobiliti rendah karbon dalam sektor pengangkutan darat menerusi pengurangan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas - GHG) dan penjimatan tenaga menjelang tahun 2030. Pelaksanaan LCMB adalah selaras dengan sasaran oleh Dasar Pengangkutan Negara dan melengkapi Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 yang menjurus kepada empat (4) bidang fokus utama iaitu penambahbaikan kecekapan bahan api dan pelepasan GHG oleh kenderaan, penggunaan mobiliti elektrik, penggunaan bahan api alternatif dan peralihan mod pengangkutan.

2. Bagi menyokong usaha kerajaan dalam berdepan dengan krisis iklim yang melanda sekarang dan pada masa akan datang, pelbagai dasar dan inisiatif telah dan akan dilaksanakan. Antara program dan inisiatif yang dilaksanakan adalah:

a) melaksanakan dasar 'carbon pricing' secara berfasa untuk menyokong usaha negara untuk mengurangkan pelepasan GHG;

b) mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31% pada tahun 2025 dan 40% pada tahun 2035 bagi grid kebangsaan melalui Pelan Peralihan Tenaga Malaysia 2021-2040;

c) aspirasi sasaran perolehan 100% kenderaan Kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman pada tahun 2030;

d) mengekalkan litupan kawasan berhutan melebihi 50 peratus selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 di mana jumlah keluasan hutan pada tahun 2018 adalah seluas 18,273,487 hektar iaitu bersamaan dengan 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara;

e) Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula tahun 2021 hingga 2025 di bawah RMKe-12 dengan peruntukan sebanyak RM25 juta. Sehingga 6 Julai 2022, sebanyak 35.38 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negara;

f) mencapai sasaran sifar sisa yang dihantar ke tempat pelupusan sampah melalui konsep sisa kepada tenaga dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40% pada tahun 2025;

g) transformasi bandar di Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon; dan

h) meningkatkan ketahanan kepada impak jangka masa panjang perubahan iklim melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan.

3. Menyedari bahawa peranan kerajaan-kerajaan negeri juga penting dalam menangani perubahan iklim, Kerajaan telah menyediakan  insentif-insentif kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan agenda hijau seperti berikut:

a) Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) dengan peruntukan sebanyak RM 35 juta pada tahun 2021 hingga 2022 kepada 141 PBT yang telah memohon bagi melaksanakan 228 projek pengurangan pelepasan karbon; dan

b) menggalakkan penyertaan Kerajaan Negeri di dalam Program International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM).

Sekian, terima kasih.

Attachments