Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 February 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

11

Soalan

DATO' INDERA MOHD SHAHAR BIN ABDULLAH [ PAYA BESAR ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang Kementerian untuk merealisasikan agenda peralihan sistem tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) dapat dijayakan tanpa membebankan rakyat dan alam sekitar dan nyatakan garis masa yang telah ditetap​kan.​

Jawapan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan YB Paya Besar,

1. Dalam merealisasikan agenda peralihan tenaga, Kerajaan telah menetapkan sasaran jangka masa sederhana dan panjang, untuk meningkatkan campuran kapasiti Tenaga Boleh Baharu atau renewable energy dalam pembekalan elektrik negara daripada 24% kepada 31% pada tahun 2025 dan 40% pada tahun 2035.

2. Bagi mencapai  kedua-dua sasaran ini, langkah-langkah strategik yang perlu dilaksanakan telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia, ataupun Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER). Penetapan langkah strategik peralihan tenaga di bawah MyRER ini, telah mengambil kira faktor kemampuan rakyat bagi memastikan supaya proses peralihan ini tidak membebankan rakyat. Selain itu, faktor daya harap sistem bekalan elektrik, serta kemampanan alam sekitar juga turut diberikan keutamaan dalam penetapan usaha peralihan tenaga yang ditetapkan ini.

Tuan Yang Di-Pertua,

3. Langkah-langkah strategik MyRER yang diperkenalkan dan sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran pembangunan TBB negara termasuk;

a) Pertama, membangunkan program dan inisiatif khas bagi   meningkatkan penyertaan industri tempatan dalam penjanaan dan pembelian bekalan elektrik hijau melalui program seperti Feed-in Tariff  (FiT) yang menyediakan kadar tarif premium sebagai galakan untuk pembangunan loji jana kuasa TBB untuk sumber bukan solar, Net Energy Metering (NEM) yang membolehkan pengguna menjana bekalan elektrik sendiri melalui pemasangan sistem solar di bumbung bangunan masing-masing, Green Electricity Tariff (GET) yang menyediakan pilihan kepada pengguna elektrik untuk membeli bekalan elektrik hijau yang dijana dari sumber solar dan hidro daripada syarikat utiliti, serta Green Corporate Power Programme (GCPP) bagi membolehkan pengguna komersil dan industri untuk mendapatkan bekalan elektrik hijau secara langsung daripada solar plant developer (SPD);

b) Kedua, mengurangkan kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber arang batu secara berperingkat dan menggantikan kapasiti tersebut dengan sumber penjanaan TBB dan sumber rendah karbon; dan

c) Ketiga, memperkukuhkan sistem talian elektrik melalui teknologi terkini bagi membolehkan kemasukan kapasiti solar yang lebih tinggi.

Sekian, terima kasih.

Attachments