Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 February 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar, Perubahan Iklim

Nombor Soalan

14

Soalan

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID [ KEMAMAN ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan kerangka polisi dan dasar yang akan diberi penekanan dalam portfolio alam sekitar, perubahan iklim dan sumber asli selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerangka dasar bagi portfolio di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan menumpukan kepada pembangunan yang seimbang dari sudut ekonomi, sosial dan alam sekitar ke arah masa depan negara yang mampan.

2. Kerangka dasar di bawah portfolio alam sekitar menumpukan kepada aspirasi melindungi bumi melalui pengurusan alam sekitar yang lestari. Melalui kerangka ini, aspek pengurusan alam sekitar yang diberi penekanan adalah peningkatan kualiti dan kawalan pencemaran udara, pemuliharaan sungai dan denai sungai, peningkatan kecekapan pengurusan lembangan sungai, perlindungan kawasan pantai rentan, pengurusan sisa plastik di persekitaran darat dan laut serta penambahbaikan pengurusan sisa buangan terjadual.

3. Di bawah portfolio perubahan iklim, Kementerian akan terus menumpukan kepada usaha mencapai aspirasi global Malaysia iaitu memenuhi obligasi dan komitmen di bawah Nationally Determined Contribution (NDC) menjelang 2030, sasaran bebas pelepasan karbon (Net Zero Carbon Emissions) menjelang 2050, serta pengurangan pelepasan gas metana di bawah Global Methane Pledge.

4. Kerangka dasar ke arah mencapai aspirasi ini merangkumi penggubalan akta dan perundangan, pembangunan pelan hala tuju serta tindakan adaptasi dan mitigasi seperti pelaksanaan inisiatif-inisiatif rendah karbon. Seiring dengan matlamat pembangunan ekonomi yang mampan dan matlamat tindakan terhadap iklim, kerangka dasar perubahan iklim Kementerian turut menekankan kepada ekosistem yang menyokong pertumbuhan ekonomi hijau. Melalui dasar ini, Kementerian memberi penekanan kepada galakan pembangunan teknologi, produk dan perkhidmatan hijau, perolehan kerajaan hijau, peningkatan jumlah pelaburan dan pekerjaan hijau, serta transisi ke arah ekonomi kitaran.

5. Selari dengan dasar menyokong transisi kepada ekonomi hijau, Kementerian di bawah tindakan perubahan iklim akan memberi penekanan kepada pembangunan Dasar Pasaran Karbon Negara, sebagai salah satu mekanisme untuk memenuhi aspirasi global dan menyokong keperluan pasaran karbon domestik dan antarabangsa.

6. Manakala bagi portfolio sumber asli, Kementerian turut menumpukan kepada usaha-usaha untuk mempertingkat kualiti ekosistem kawasan terestrial. Inisiatif ini termasuk pewartaan kawasan perlindungan, pewujudan koridor ekologi serta pemulihan dan penghutanan semula. Aspirasi ini diterjemahkan melalui Dasar Perhutanan Malaysia yang merangkumi polisi berhubung pengurusan hutan secara berkekalan, pemuliharaan dan perlindungan kepelbagaian biologi, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, mengaplikasi teknologi perhutanan terkini, memperkasa penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian maklumat. Agenda nasional seperti Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok serta inisiatif Central Forest Spine dan Heart of Borneo merupakan antara inisiatif di bawah dasar ini untuk terus menggalakkan kerjasama awam yang memberi sumbangan signifikan kepada agenda Antarabangsa, Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).

7. Di samping itu, portfolio Kementerian ini turut meliputi sektor tenaga bagi bekalan elektrik yang berpaksikan kepada keseimbangan trilema tenaga – jaminan bekalan, mampu bayar dan kemampanan bagi memenuhi keperluan serta kepentingan rakyat. Kementerian juga proaktif dalam usaha untuk menyokong aspirasi Matlamat SDG 7: Tenaga Berpatutan dan Bersih dengan merancang dasar dan hala tuju agenda peralihan tenaga dan pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara. Dalam hal ini, Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER) dibangunkan untuk meningkatkan kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik bagi mencapai sasaran 31% menjelang tahun 2025.

8. Kesemua kerangka dasar dan polisi Kementerian yang dibincangkan ini disokong oleh pengurusan dan akses kepada data yang berkesan, pengukuhan governans melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pemegang taruh, penubuhan agensi-agensi berkaitan sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim dan penyelidikan berterusan.

Sekian, terima kasih.

Attachments