Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 February 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

43

Soalan

PUAN VIVIAN WONG SHIR YEE [ SANDAKAN ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah rancangan Kerajaan untuk mengatasi kekurangan penjanaan elektrik yang kritikal di Pantai Timur Sabah, yang mana ia kini menghadapi margin rizab negatif lebih daripada 30%.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah melaksanakan perancangan pembekalan elektrik Sabah melalui Pelan Pembangunan Penjanaan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.

2. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Kementerian/agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah yang berkaitan serta syarikat utiliti iaitu Sabah Electricity Sdn. Bhd.

3. Pelan Pembangunan Penjanaan ini menetapkan perancangan penjanaan untuk negeri Sabah bagi tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang dengan mengambil kira penilaian unjuran permintaan, opsyen teknologi penjanaan, kecukupan bahan api dan kos pembekalan yang paling optimum.

4. Pada masa kini, negeri Sabah mengalami penjanaan elektrik yang tidak seimbang antara Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah dengan rizab margin sebanyak 48% di Pantai Barat dan -30% di Pantai Timur Sabah.

5. Kajian berhubung cadangan pembangunan penjanaan di Pantai Timur Sabah ini sedang diperhalusi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, dengan mengambil kira kecukupan bahan api dan kos pembekalan serta memastikan opsyen yang dipilih kelak akan memastikan rakyat Negeri Sabah menikmati bekalan elektrik yang lebih berdaya harap pada kadar tarif yang berpatutan. Antara opsyen yang telah dimuktamadkan adalah pelaksanaan Solar Berskala Besar atau Large Scale Solar dengan izin, bersekali dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri atau Battery Energy Storage System dengan izin, pada tahun 2025/2026.

6. Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesaikan masalah kekurangan penjanaan elektrik di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.

Sekian, terima kasih.

Attachments