Tuan Yang di-Pertua,
1. YAB Perdana Menteri dalam sidang media pasca Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang telah diadakan pada 20 Januari 2023 di Kuching telah mengumumkan bahawa penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik negeri Sabah kepada Kerajaan Negeri Sabah ditetapkan pada 1 Januari 2024.
2. Penyerahan kuasa ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu:
a) Fasa 1: pengambilalihan kuasa kawal selia pembekalan elektrik Sabah mulai 1 Januari 2024; dan
b) Fasa 2: pengambilalihan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) (dijangka pada tahun 2030.
3. Bagi memastikan proses penyerahan kuasa dilaksanakan secara teratur, pihak Kementerian akan melaksanakan tindakan-tindakan berikut:
a) pindaan ke atas Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) bagi memasukkan klausa penggantungan. Pembentangan kedua-dua Rang Undang-Undang ini adalah pada bulan Jun 2023 semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen ke-15;
b) rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi memuktamadkan prinsip-prinsip dan pakej penyerahan kuasa melalui Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal; dan
c) setelah prinsip-prinsip dan pakej penyerahan kuasa dimuktamadkan oleh kedua-dua belah pihak, pihak Kementerian akan melaksanakan:
i) pewartaan Perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa perundangan bekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah; dan
ii) pewartaan Perintah Penggantungan Kuat Kuasa akta-akta berikut:
- Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447];
- Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 [Akta 601];
- Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 [Akta 725]; dan
- Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 [Akta 726].
4. Proses penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik negeri Sabah kepada Kerajaan Negeri Sabah ini mempunyai implikasi kewangan kepada Kerajaan Persekutuan. Sebagaimana amalan sedia ada, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan subsidi kepada SESB bagi tempoh yang dipersetujui merangkumi subsidi sokongan tarif, subsidi bahan api dan subsidi solar berskala besar, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.
Sekian, terima kasih.