Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 February 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

12

Soalan

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID [ KEMAMAN ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan:

a) kadar kes pembalakan haram di setiap negeri sejak tahun 2022; dan

b) sejauh mana keberkesanan penggunaan teknologi baharu seperti dron dapat mengurangkan aktiviti pembalakan haram.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Soalan (a)

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sebanyak 90 kes pembalakan haram telah direkodkan di seluruh negara pada tahun 2022.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1 kes bagi negeri Johor, 10 kes bagi negeri Kelantan, 1 kes bagi Negeri Sembilan, 1 kes bagi negeri Pahang, 11 kes bagi negeri Perak dan 2 kes bagi negeri Selangor. Manakala, sebanyak 4 kes pembalakan haram direkodkan bagi Sabah dan 60 kes pembalakan haram telah direkodkan di Sarawak. Penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut telah didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah.

Soalan (b)

2. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak turut mengambil pendekatan penggunaan teknologi seperti sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS) di Semenanjung, sistem Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) di Sarawak serta sistem aplikasi iForSabah di Sabah dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan hutan di negara ini. Sistem ini menggunakan teknologi Geographic Information System (GIS), penderiaan jarak jauh (remote sensing) dan imej satelit beresolusi tinggi yang boleh mengesan sebarang perubahan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Sistem ini membantu pasukan rondaan dan operasi penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti kesalahan hutan di lapangan dengan maklumat lokasi yang lebih spesifik. Selain itu, teknologi seperti dron juga digunakan bagi membantu membanteras jenayah hutan melalui pemantauan udara di lokasi-lokasi tertentu.

Sekian, terima kasih.

Attachments