Tuan Yang di-Pertua,
1. Merujuk kepada data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), purata kadar air tidak berhasil (Non-Revenue Water - NRW) Malaysia adalah 36.3% pada suku ketiga tahun 2022.
2. Kerajaan memandang serius berkenaan NRW kerana ia berkait rapat dengan kecekapan operasi sistem bekalan air. Antara punca yang menyumbang kepada kadar NRW yang tinggi adalah kehilangan fizikal dan komersial.
3. Merujuk kepada data SPAN, kehilangan fizikal (kebocoran paip dan penyambungan paip yang tidak sempurna) mewakili 75%, kehilangan komersial (kecurian air dan bacaan meter yang tidak tepat) mewakili 20% dan lain-lain (penyelenggaraan dan kegunaan pemadaman kebakaran) sebanyak 5% kadar NRW. Penyelesaian NRW perlu ditangani secara holistik dan berterusan serta memerlukan peruntukan yang besar. Namun begitu, kekangan kewangan yang dihadapi oleh operator air merupakan cabaran utama dalam pelaksanaan program NRW.
4. Antara langkah yang diambil bagi membantu operator air mengurangkan kadar NRW adalah seperti berikut:
a) peruntukan sebanyak RM1.907 bilion dalam tempoh RMKe-11 hingga RMKe-12 bagi pelaksanaan Program NRW Kebangsaan melalui Pendekatan 1 dan Pendekatan 2;
b) pembiayaan modal (CAPEX) penggantian paip dan program NRW oleh Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) berjumlah RM2.048 bilion dari tahun 2010 hingga Disember 2022 bagi negeri yang telah memuktamadkan penstrukturan semula industri bekalan air;
c) kemudahan pinjaman jangka pendek oleh PAAB bagi membiayai pelaksanaan program NRW Pendekatan 2 di bawah skop perbelanjaan operasi (OPEX) seperti penggantian meter, pembangunan District Metering Zone (DMZ), pengesanan kebocoran secara aktif dan lain-lain;
d) menggalakkan pendanaan pihak swasta dalam kerja pengurangan NRW di bawah Program NRW Kebangsaan;
e) pemantapan kawal selia oleh SPAN dari segi penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), pengauditan operasi, penguatkuasaan bagi kes kecurian air, pengawalan kualiti bahan dan produk yang mematuhi standard, berkualiti dan berdaftar dengan SPAN; dan
f) kerjasama antara SPAN dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam meningkatkan kompetensi tenaga kerja sektor air selaras dengan kehendak Seksyen 49, Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.
Sekian, terima kasih.