Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 February 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

31

Soalan

TUAN LO SU FUI [ TAWAU ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah rancangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) bagi mengatasi isu bekalan elektrik yang kerap terputus bekalan dan apakah rancangan jangka panjang pihak Kementerian bagi menangani isu penggunaan elektrik yang semakin meningkat di daerah Tawau.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

1. Prestasi sistem pembekalan elektrik di Sabah dipantau dengan menggunakan indeks purata tempoh gangguan sistem (System Average Interruption Duration Index – SAIDI), yang mengukur tempoh gangguan bekalan elektrik kepada pengguna dalam tempoh setahun. Sasaran SAIDI di Sabah bagi tahun 2023 adalah sebanyak 250 minit/pengguna/tahun dan setakat 31 Disember 2022, Sabah mencatatkan SAIDI sebanyak 286 minit/pengguna/tahun.

2. Secara umum, faktor-faktor penyumbang kepada gangguan bekalan elektrik adalah disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

i) gangguan binatang liar; 

ii) pokok-pokok yang mengganggu kabel;

iii) kerosakan kabel; dan

iv) lebihan beban yang berpunca daripada sambungan haram.

3. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan melalui Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) telah melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

a) pelaksanaan aktiviti senggaraan pencegahan (preventive maintenance) melalui inisiatif berikut:

i. pemasangan Distribution Automation bagi mengurangkan tempoh gangguan dan mempercepatkan kerja-kerja pemulihan bekalan yang dilakukan secara jarak jauh (remote); dan

ii. penggunaan teknologi dron bagi melakukan rondaan talian dan kabel elektrik yang akan menjimatkan masa pemeriksaan; dan

b) pelaksanaan projek-projek menaiktaraf sistem bekalan elektrik meliputi perkara-perkara berikut:

i. projek penukaran konduktor bertebat;

ii. penukaran alat suis dan kerja naiktaraf pepasangan atau peralatan usang; dan

iii. menaiktaraf bekalan bagi mengatasi susut voltan (voltage drop).

4. Bagi menangani isu peningkatan permintaan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah termasuk daerah Tawau, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang memperhalusi opsyen-opsyen penjanaan dengan mengambil kira kecukupan bahan api dan kos pembekalan.

5. Antara opsyen yang telah dimuktamadkan adalah pelaksanaan Solar Berskala Besar bersekali dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Large Scale Solar dan Battery Energy Storage System) pada tahun 2025/2026.

6. Selain itu, Kerajaan juga sedang melaksanakan beberapa projek menaiktaraf infrastruktur sistem pembekalan elektrik khususnya di Daerah Tawau seperti berikut:

i) pembinaan projek pembahagian di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Kuhara;

ii) pembinaan projek pembahagian di PPU Sri Indah serta menaiktaraf sistem talian 33kV dan 11kV di Tawau melalui pembinaan PPU Wakuba; dan

iii) pengukuhan sistem penghantaran melalui pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) Apas 132/33/11kV di Tawau.

7. Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik dan memenuhi peningkatan permintaan elektrik di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.

Sekian, terima kasih. 

Attachments