Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 February 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

42

Soalan

DATO' WIRA DR. KU ABD RAHMAN BIN KU ISMAIL [ KUBANG PASU ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan sama ada Kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula pelaksanaan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi Januari 2023 hingga 30 Jun 2023 terhadap pelanggan TNB bervoltan sederhana (MV) dan bervoltan tinggi (HV) di kalangan industri termasuk MNC memandangkan pelaksanaan ICPT ini memberikan implikasi n​egatif kerana ia akan menghakis daya saing negara dalam menarik pelaburan bagi industri pembuatan.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

1. Tarif elektrik disemak setiap enam bulan sekali melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dengan mengambil kira kos bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang. Dalam hal ini, kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 adalah sebanyak RM16.16 bilion bersamaan kadar surcaj 27 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

2. Namun begitu, Kerajaan pada 16 Disember 2022 telah bersetuju untuk menampung subsidi bil elektrik berjumlah RM10.757 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023. Ini bermakna, pengguna domestik, pengguna bukan domestik dalam kategori voltan rendah (Low Voltage – LV) yang terdiri daripada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil dan pengguna dalam kategori pertanian spesifik spesifik seperti petani, penternak dan pekebun kekal dengan tarif elektrik sedia ada.

3. Manakala pengguna bukan domestik dalam kategori voltan sederhana (Medium Voltage – MV) dan voltan tinggi (High Voltage – HV) dikenakan surcaj ICPT pada kadar 20 sen/kWj. Ini bermakna, Kerajaan masih lagi menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion atau bersamaan surcaj 7 sen/kWj agar peningkatan surcaj yang sebenar tidak dilepaskan secara keseluruhannya kepada pengguna-pengguna yang terlibat.

4. Pelepasan surcaj ICPT ini tidak dapat dielakkan kerana berlaku peningkatan mendadak kos bahan api di pasaran global. Sepanjang bulan Julai hingga Disember 2023, harga arang batu telah meningkat sebanyak 151% bersamaan RM8,655 juta, manakala harga gas asli juga telah meningkat sebanyak 105% atau bersamaan dengan RM3,266 juta berbanding unjuran yang ditetapkan dalam tempoh kawal selia ketiga atau Regulatory Period (RP) 3. Impak krisis tenaga global yang antaranya disebabkan oleh kenaikan harga bahan api dunia bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Negara-negara lain seperti Singapura, United Kingdom, Jerman, Thailand, Hong Kong, Bangladesh dan Cambodia adalah antara negara-negara yang telah menaikkan harga elektrik di negara masing-masing dengan menggunakan pendekatan pemberian subsidi yang bersesuaian. Malah, kenaikan harga elektrik juga berlaku di negara-negara pembekal arang batu seperti Indonesia dan Australia.

5. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sekiranya Kerajaan ingin mengekalkan tarif elektrik pada tahun 2022 kepada semua pengguna termasuk pengguna MV dan HV, Kerajaan perlu memperuntukkan subsidi elektrik sebanyak RM15 bilion untuk tempoh 6 bulan sahaja. Kos subsidi ini adalah terlalu tinggi untuk ditampung oleh Kerajaan, tambahan pula pengguna dalam kategori MV dan HV yang terdiri daripada syarikat-syarikat dan pihak-pihak industri yang menjalankan urusniaga bagi mendapatkan keuntungan akan memperolehi lebih banyak subsidi tersebut berbanding pengguna domestik kerana mereka menggunakan elektrik dalam kuantiti yang banyak. Oleh yang demikian, Kerajaan telah membuat keputusan yang sewajarnya untuk melepaskan sebahagian kos surcaj ICPT kepada pengguna MV dan HV bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

6. Walaupun demikian, kos elektrik di Malaysia masih lagi kompetitif untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia. Justeru, Kementerian buat masa ini tidak mempunyai perancangan untuk mengkaji semula pelaksanaan ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 dan ini adalah konsisten dengan keputusan yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 16 Disember 2022. 

7. Sesungguhnya, pihak Kerajaan mengiktiraf dan menghargai peranan yang dimainkan oleh syarikat multinasional dan perniagaan bersaiz besar dalam pembangunan ekonomi dan pemulihan negara. Dalam masa yang sama, Kerajaan mempercayai kebolehan negara untuk berganjak daripada persaingan kos rendah kepada persaingan nilai tambahan yang berdaya saing. Justeru, pendekatan ini dinilai oleh Kerajaan bersesuaian dengan keadaan ekonomi pada masa ini.

Sekian, terima kasih.

Attachments