Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedia maklum masalah hakisan yang berlaku di Pantai Lutong ini. Masalah hakisan pantai di kawasan ini berlaku disebabkan fenomena air pasang besar disertai ombak dan hujan lebat telah menyebabkan berlakunya limpahan air laut dan kejadian banjir pantai.
2. Pada tahun 2020, JPS telah mula melaksanakan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Batu 1, Kuala Baram, Miri, Sarawak dengan nilai berjumlah RM17 juta dan dijangka siap pada April 2023 dengan pembinaan struktur pemecah ombak (breakwater), groin dan landasan bot nelayan baru (ramp). Projek ini bertujuan melindungi Pasar Awam Kampung Batu 1 dan juga jalan raya utama daripada limpahan banjir pantai.
3. Pada tahun 2022, Kementerian melalui JPS telah memohon Peruntukan Off Budget bagi Projek Mengatasi Banjir Pantai di Negeri Sabah dan Sarawak. Projek Pengawalan Hakisan Di Pantai Lutong, Bahagian Miri, Sarawak merupakan salah satu projek yang dipohon melalui peruntukan tersebut bagi Negeri Sarawak.
4. Pada Tahun 2023, di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), terdapat tiga (3) projek dipohon di Bahagian Miri dengan anggaran kos projek berjumlah RM 24 juta iaitu:
i) Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pantai Luak Esplanade, Bahagian Miri, Sarawak;
ii) Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pantai Kampung Luak, Bahagian Miri, Sarawak; dan
iii) Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pantai Bakam (Fasa 2), Bahagian Miri, Sarawak.
Sekian, terima kasih.