Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

02 March 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

33

Soalan

KAPTEN DATO' DR. ZULKAFPERI BIN HANAPI (BERSARA) [ TANJONG KARANG ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah tindakan Kemen​terian dalam menyelesaikan masalah banjir kilat dan banjir termenung di Tanjong Karang yang disebabkan masalah kawasan tadahan air seluas 700 ekar yang didiami 44 keluarga dan pembinaan benteng yang menolak air ke kawasan pekan Tanjong Karang.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Yang Berhormat,  kejadian banjir telah pada 11 dan 22 November 2022 di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor  melibatkan beberapa kawasan berhampiran Sungai Tengi di Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang Kuala Selangor, Selangor. 

2. Kejadian banjir berpunca daripada penempatan tidak sah di dataran banjir Sungai Tengi dan pembinaan benteng oleh penduduk yang tidak mengikut spesifikasi di atas tanah rizab sungai sehingga menyebabkan pengurangan 80% kelebaran dataran banjir sungai dari 500 meter kepada 100 meter.

3. Pertembungan fenomena air pasang besar beserta ribut turut menyebabkan  kenaikan paras air sungai melebihi paras benteng binaan penduduk. Didapati beberapa pintu air (bersaiz kecil) yang dibina sendiri oleh penduduk tidak berfungsi dengan baik.

4. Sehubungan itu, bagi mengurangi impak banjir di Tanjong Karang, JPS Negeri Selangor telah mengambil tindakan berikut:

i) Memasang satu (1) unit pam bergerak bagi mempercepatkan aliran air banjir keluar ke rizab sungai;

ii) Melepaskan air Terusan Utama bagi mengalirkan air lebihan melalui pembukaan dua (2) buah spillway iaitu Spillway Sungai Tengi, Tanjong Karang dan Spillway Parit Changkat, Sabak Bernam;

iii) Membuka semua regulator pengairan di Terusan Utama untuk mengagihkan air ke seluruh takungan terusan; dan

iv) Penutupan pintu bekalan Sungai Bernam agar tiada pertambahan aliran dari Sungai Bernam.

5. Bagi penyelesaian jangka panjang, JPS Negeri telah berbincang dengan Pejabat Tanah Dan Daerah Kuala Selangor supaya mengambil tindakan untuk memastikan dataran banjir yang didiami oleh 44 kediaman dikosongkan dan dipulihkan dari sebarang aktiviti tanaman kekal (kelapa sawit). Benteng yang dibina secara tidak sah juga perlu dirobohkan bagi memastikan aliran air sungai berjalan dengan lancar.

6. Bagi menyelesaikan masalah banjir termenung pula, Kementerian melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah membangunkan teknologi pelepasan air secara jarak jauh dan melalui kaedah penyuraian kepada bentuk wap ke atmosfera secara mudah alih sebagai sokongan dan alternatif kepada Kementerian dan agensi pelaksana bagi menangani masalah banjir genang. Teknologi ini akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun ini yang akan digunakan mengikut keperluan berdasarkan kejadian banjir genang serta akan bekerjasama penuh dengan pihak JPS.

Sekian, terima kasih.​

Attachments