Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

02 March 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

43

Soalan

DATO' SRI TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN [ KUBA​NG KERIAN ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan komitmen dan faedah yang dicapai oleh Malaysia di Persidangan Perubahan Iklim PBB 2022 atau COP27 di Sharm el-Sheikh, Mesir.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan Republik Arab Mesir telah menjadi tuan rumah dan presiden kepada Conference of the Parties of the United Nations Framework Convention on Climate Change yang ke-27 (UNFCCC COP-27) yang telah berlangsung dari 6 hingga 20 November 2022 di Sharm El-Sheikh, Mesir. Persidangan ini adalah penting sebagai titik peralihan bagi merealisasikan pelaksanaan obligasi dan komitmen perubahan iklim di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris.

2. Di persidangan ini, komitmen negara telah disampaikan melalui Kenyataan Negara di Mesyuarat Peringkat Tinggi yang disertai ketua-ketua negara lain pada 15 November 2022. Selain menggariskan komitmen negara bagi menangani isu perubahan iklim, Kenyataan Negara yang disampaikan juga mencerminkan imej progresif Malaysia dalam menyokong usaha global untuk menangani perubahan iklim. Kenyataan Negara telah menyentuh mengenai:

i. komitmen pengurangan pelepasan GHG di bawah Perjanjian Paris,

ii. aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih pada tahun 2050;

iii. pengekalan liputan hutan di Malaysia sebanyak 50 peratus; dan

iv. usaha penyahkarbonan sektor tenaga melalui peningkatan sasaran kapasiti campuran tenaga boleh baharu dan pengurangan pelepasan gas metana.

3. Selain itu, penglibatan Malaysia di dalam persidangan ini adalah penting bagi memastikan pendirian dan kepentingan negara terpelihara dan diambil kira dalam keputusan-keputusan yang diputuskan. Sebanyak 32 delegasi Malaysia yang terdiri daripada pelbagai Kementerian dan Agensi telah menyertai pelbagai proses rundingan dan menyumbang kepada penyediaan Sharm El-Sheikh Implementation Plan selaku pakej keputusan rundingan utama berkaitan pelaksanaan Perjanjian Paris.

4. Dalam masa yang sama, delegasi Malaysia turut mengambil peluang mengadakan mesyuarat dua hala bersama negara-negara lain dan organisasi antarabangsa semasa persidangan ini berlangsung. Melalui mesyuarat dua hala ini, negara berpotensi meningkatkan jaringan kerjasama serta memperoleh bantuan teknikal dan kewangan bagi tujuan pembangunan kapasiti dalam pelbagai bidang mengenai perubahan iklim. Mesyuarat dua hala telah diadakan dengan negara-negara seperti:

i. Amerika Syarikat;

ii. United Kingdom;

iii. Denmark;

iv. Netherlands;

v. New Zealand;

vi. Jerman;

vii. Singapura;

viii. Jepun; dan

ix. Turki.

4. Dalam masa yang sama, Malaysia turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan organisasi antarabangsa seperti Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), Green Climate Fund (GCF) dan International Emissions Trading Association (IETA).

5. Malaysia turut membangunkan Pavilion Malaysia di persidangan kali ini untuk mengetengahkan usaha Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim kepada peserta antarabangsa yang hadir ke persidangan ini. Pembangunan pavilion ini juga telah berjaya mewujudkan potensi kerjasama antarabangsa dari aspek pembiayaan, pembangunan kapasiti dan pemindahan teknologi serta potensi pelaburan daripada negara luar dan syarikat asing. Pavilion Malaysia telah merekodkan kehadiran lebih 800 orang peserta yang telah menghadiri pelbagai program dan aktiviti yang diadakan. Dalam masa yang sama, lebih 15 ribu peserta juga telah mengikuti siaran langsung program dan aktiviti di Pavilion Malaysia melalui laman media sosial kementerian.

Sekian, terima kasih.​​

Attachments