Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dahulu dikenali sebagai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah selesai membuat pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Pindaan kepada Akta 313 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 18 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 8 Ogos 2022. Pindaan Akta 313 kali ini bertujuan menambah baik dan memantapkan pengurusan kawasan-kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan penguatkuasaan hutan.
2. Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa urusan berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Berdasarkan peruntukan seksyen 19 Akta 313, pemberian lesen bagi pengambilan hasil hutan dari HSK atau Tanah Kerajaan adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
3. Secara umumnya, aktiviti pengusaha hasilan di negara ini melibatkan kawasan HSK yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik. Pengusaha hasilan Hutan Pengeluaran dilaksanakan secara terkawal melalui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) berdasarkan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM). Selain itu, bagi memastikan aktiviti pembalakan dilaksanakan secara teratur, pelesen perlu menyediakan Rancangan Mengusahasil Hutan (RMH) sebelum lesen dikeluarkan.
Sekian, terima kasih.