Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

22 March 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

27

Soalan

Dato' Ajis bin Sitin minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah tindakan jangka pendek dan perancangan jangka panjang ​untuk menghindari konflik masyarakat Orang Asli dengan gajah dan harimau yang semakin kritikal sekarang.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia prihatin dengan situasi konflik manusia dan spesies hidupan liar terutamanya gajah dan harimau.

2. Bagi pengurusan menangani konflik 'manusia dan gajah', Jabatan PERHILITAN telah menjalankan beberapa tindakan seperti berikut;

i) menjalankan operasi tangkap-pindah gajah daripada kawasan konflik ke Santuari Gajah Sungai Ketiar di Terengganu, Taman Negara Terengganu, Hutan Simpan Belum dan Hutan Simpan Lenggor di Perak, Hutan Simpan Panti di Johor dan Taman Negara Johor (Endau-Rompin);

ii) membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal sepanjang 303.4 km di kawasan konflik manusia dan gajah bagi lima (5) negeri keliaran gajah iaitu Pahang, Johor, Perak, Kelantan dan Terengganu;

iii) membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) mudah alih sepanjang 28.05 km di kawasan konflik manusia dan gajah bagi empat (4) negeri keliaran gajah iaitu Pahang, Kedah, Perak dan Terengganu;

iv) melaksanakan sistem amaran awal dan menjalankan penyelidikan pergerakan gajah liar melalui pemasangan kolar satelit ke atas lima (5) ekor gajah di Kluang dan Mersing, Johor;

v) mengadakan program kesedaran awam dan program pemasangan pagar komuniti bersama penduduk setempat yang terkesan dengan konflik manusia dan gajah;

vi) mengadakan sesi perbincangan, dialog dan konsultansi bersama pihak berkepentingan di sekitar kawasan konflik manusia dan gajah yang memberi tumpuan terhadap menyayangi hidupan liar serta kaedah pengurusan kebun yang betul terutamanya yang bersempadan dengan kawasan hutan; dan

vii) membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) sebagai panduan dalam melaksanakan pengurusan gajah yang lebih holistik.

3. Untuk melindungi masyarakat Orang Asli dan orang kampung yang terjejas akibat konflik manusia dan harimau, Jabatan PERHILITAN melaksanakan tindakan-tindakan berikut:

i) melaksanakan program pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan dalam tempoh tertentu sehingga keadaan konflik menjadi stabil;

ii) memasang perangkap harimau berdasarkan tahap keseriusan aduan dan kekerapan harimau berkeliaran di kawasan konflik berkaitan;

iii) menembak mati harimau yang mendatangkan kecederaan atau kematian terhadap orang awam; dan

iv) melaksanakan program kesedaran awam untuk memberi pendedahan dan khidmat nasihat kepada masyarakat Orang Asli terhadap kepentingan melindungi harimau dan teknik melindungi diri jika berlakunya konflik manusia dan harimau.

Sekian, terima kasih.

Attachments