Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

22 March 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

49

Soalan

Datuk Bobbey bin Suan minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak Kementerian bagi memperluaskan kempen program pengumpulan sisa elektronik (e-Waste) dalam negara kita.​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, buangan sisa elektronik (electronic waste - e-waste) dikategorikan sebagai buangan terjadual kerana ianya mengandungi komponen berbahaya seperti merkuri, kadmium, kromium dan lain-lain bahan berbahaya. Sehubungan itu, pengurusan e-waste perlu dilaksanakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

2. Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pengurusan e-waste, Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan pelan komunikasi bagi program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam dengan izin communication, education, and public awareness (CEPA) khusus berkenaan pengurusan e-waste secara environmentally sound management (ESM). Selain daripada itu, program ini diharap dapat memberi pendedahan mengenai mekanisme pengurusan e-waste yang sedang dibangunkan oleh jabatan termasuklah konsep shared responsibility dan extended producer responsibility (EPR).

3. Selain itu juga beberapa inisiatif telah diambil oleh JAS untuk memastikan kempen pengurusan e-waste dapat disampaikan dan difahami oleh masyarakat. Antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah seperti berikut;

i) “Program Hari Pengumpulan E-waste" pada hari Sabtu terakhir setiap bulan;

- program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan pengurusan e-waste dan mengalakkan aktiviti pengumpulan e-waste dikalangan masyarakat.

ii) pembangunan aplikasi mudah alih MyEwaste;

- pembangunan aplikasi ini adalah bertujuan untuk memudahkan masyarakat dalam mengenalpasti dan navigasi ke pusat pengumpulan dan kemudahan pemerolehan kembali yang berhampiran serta memberi maklumat terkini berkenaan e-waste.

iii) pembangunan laman web e-waste (https://ewaste.doe.gov.my/) yang menjadi satu wadah dalam menyampaikan maklumat berkaitan e-waste kepada orang awam; dan

- laman web ini dibangunkan sebagai wadah dalam menyampaikan maklumat berkaitan e-waste kepada masyarakat termasuk program CEPA yang dianjurkan, maklumat berkaitan dokumen pendaftaran dan perundangan, lokasi pusat pengumpulan berdaftar dan kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan. 

iv) penubuhan pusat-pusat pengumpulan yang baharu di seluruh negara.

- pusat sedia ada bagi pengumpulan e-waste adalah berjumlah 222.

4. Penglibatan di kalangan pihak berkuasa tempatan, pihak korporat dan swasta di dalam program dan kempen e-waste juga telah menunjukkan peningkatan. NRECC mengucapkan ribuan terima kasih atas penglibatan semua pihak akan kesedaran pengurusan e-waste yang lestari.

Sekian, terima kasih.

Attachments