Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

10 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

4

Soalan

Dato' Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [ Kuala Langat ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan perancangan Kerajaan untuk menggunakan kaedah baru bagi mengatasi masalah berkaitan pengukuhan ban Pantai Barat Semenanjung yang menghadapi masalah hampir setiap tahun berlaku ban rebak khususnya di Daerah Kuala Langat.

Jawapan

JAWAPAN


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam menangani dan memelihara struktur integriti ban pantai akibat daripada gelombang laut, arus, dan unsur-unsur alam semulajadi yang lain. Usaha ini adalah komitmen Kerajaan untuk memelihara kelestarian pantai serta menjaga dan merawat ban pantai dari ancaman hakisan dan risiko lain yang berkaitan dengan alam semulajadi, di samping memelihara keselamatan komuniti yang tinggal di sepanjang pantai.

  2. Kaedah-kaedah pengukuhan ban pantai yang telah diperkenalkan dan digunakan adalah berdasarkan dapatan kajian mengenai ciri-ciri unik setiap lokasi pantai. Ia melibatkan analisis untuk mengenalpasti jenis hakisan yang berlaku bagi setiap kawasan pantai seperti kadar hakisan, tekanan gelombang, dan perubahan alam sekitar di lokasi berkaitan. Selain itu, sumber kewangan yang ada juga menjadi faktor penentu dalam pemilihan kaedah yang sesuai untuk dilaksanakan. 

  3. Di samping itu, penanaman tumbuhan pantai seperti pokok bakau turut menjadi salah satu kaedah untuk mengukuhkan pantai dan mengurangkan hakisan. Sehingga 15 September 2023, seluas 3,303.94 hektar kawasan pesisiran pantai di seluruh negara telah ditanam dengan 7,258,350 pokok bakau dan spesies-spesies pantai yang sesuai.

  4. Bagi mengurangkan risiko hakisan pantai di Daerah Kuala Langat, Selangor, Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan Projek Membina dan Menaiktaraf Benteng Pantai dan Kawalan Hakisan Bagi Fenomena Air Pasang Besar di Pantai Cunang Dan Pantai Tanjung Sepat, di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Projek ini dijangka tender pada Oktober 2023 dan kerja fizikal dijangka bermula pada awal tahun 2024.  


Sekian, terima kasih. 



Attachments