Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 10 October 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Mineral, Geosains | Nombor Soalan | 36 | Soalan | Tuan Che Alias bin Hamid [ Kemaman ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan sejauh mana justifikasi Dasar Mineral Negara yang dirangka bergerak selari dengan Dasar Perhutanan Negara dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan bagi memelihara alam sekitar, hidupan liar dan Orang Asli.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) dibangunkan sebagai kesinambungan kepada Dasar Mineral Negara 1 (1992) dan Dasar Mineral Negara 2 (2009). DMN3 ini dibangunkan dengan menambah baik dasar sedia ada dan bertujuan mewujudkan dasar yang lebih menyeluruh bagi menyokong pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri mineral secara bertanggungjawab dan mampan serta mampu menampung peningkatan permintaan kepada input sumber mineral.
Dalam pembikinan DMN3, Kementerian telah melihat dan meneliti dasar-dasar sedia ada yang terlibat seperti Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 (DKBK) dan Dasar Perhutanan Malaysia (DPM). Hal ini bagi memastikan dasar yang sedang dibangunkan ini tidak mendatangkan impak negatif yang ketara kepada usaha pemeliharaan alam sekitar dan kepelbagaian biodiversiti negara.
DPM adalah satu polisi bersifat umum dan mengambil kira kepentingan pengurusan perhutanan di ketiga-tiga wilayah. Dasar ini juga dijadikan sebagai rujukan dan panduan kepada dasar-dasar perhutanan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Secara ringkasnya, DPM adalah komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ke arah mencapai pembangunan mampan dan pengurusan hutan secara berkekalan di Malaysia. Seterusnya, DKBK adalah dasar yang menjadi panduan kepada hala tuju dan rangka kerja Kerajaan Persekutuan dalam aspek pengurusan biodiversiti terutamanya dalam penekakan kepada keperluan untuk pemuliharaan berterusan, penggunaan mampan dan perkongsian faedah melalui penggunaan sumber biologi secara efektif.
Dalam DKBK, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah dinyatakan sebagai sebagai rakan strategik (key partner) di dalam pelaksanaan Tindakan 3.1 ‘Penerapan pemuliharaan biodiversiti ke dalam perancangan pembangunan negara, negeri dan dasar dan perancangan sektor.
Kementerian turut mengambil kira cabaran berkaitan kelestarian alam sekitar kesan daripada aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam Dasar Mineral Negara 3 yang sedang dirangka. Sehubungan itu, salah satu sasaran strategik yang ditetapkan adalah pembangunan industri mineral secara mampan dan bertanggungjawab selari dengan komitmen Kerajaan terhadap sasaran di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals 2030 – SDG 2030) yang bermatlamat untuk mencapai pembangunan mampan merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Melalui Teras 5 DMN3 iaitu “Penekanan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (Environmental, Social and Governance – ESG), Kementerian ingin menekankan pembangunan industri mineral yang bukan sahaja memberikan pulangan ekonomi tetapi mewujudkan pengurusan sumber mineral yang bertanggungjawab, mampan malah seimbang dengan aspek penjagaan alam sekitar dan pemeliharaan biodiversiti negara.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|