Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

16 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

32

Soalan

Dr. Hajah Halimah Ali [ Kapar ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan :-


a) bagaimanakah pihak Kerajaan memastikan kilang-kilang tidak menjadi penyebab pencemaran alam sekitar; dan


b) apakah tindakan tuntas Kerajaan mengenai sisa buangan kilang di tapak pelupusan haram seperti di Batu 14, Jalan Kapar yang dikatakan telah mencecah hingga 400 tan sampah dan kebakaran sampah ini masih berulang.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan strategi yang merangkumi program penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) terutamanya di kilang dan industri. 


  1. Antara langkah-langkah yang dilaksanakan adalah seperti berikut:


  1. mempertingkatkan penguatkuasaan bagi punca-punca yang tertakluk di bawah Akta 127 dan peraturan-peraturan di bawahnya secara berterusan. Sebarang ketidakpatuhan akan diambil tindakan berdasarkan Akta 127 seperti penahanan operasi, kompaun, tindakan mahkamah, tarik atau gantung lesen dan perintah larangan operasi;


  1. mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan pencemaran di bawah Akta 127 supaya penguatkuasaan adalah lebih berfokus;


  1. meningkatkan penggunaan teknologi dalam memantau pematuhan kilang-kilang yang melepaskan efluen seperti menggunakan drone dan pelaporan pemantauan alam sekitar secara atas talian; dan


  1. meningkatkan penggunaan data dan maklumat pengawasan kualiti air sungai untuk merancang dan menyusun strategi penguatkuasaan. Pengesanan perubahan kepada kualiti air sungai akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan di lapangan.


  1. Selain daripada aspek penguatkuasaan dan pemantauan di bawah Akta 127, Kementerian juga akan mengukuhkan kerjasama melalui pelaksanaan operasi bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi yang berkaitan.


Soalan (b)


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Seperti sedia maklum, pengurusan sampah atau sisa pepejal adalah diterajui oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Untuk makluman, sisa pepejal yang terhasil daripada operasi kilang dikategorikan di bawah sektor industri. Bagi negeri-negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], pengurusan sisa pepejal di sektor komersial, industri dan institusi (CII) adalah tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Skim bagi Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian) 2018 (P.U. (A) 181/2018). 


  1. Merujuk kepada peraturan ini, pemilik premis (pemilik, penyewa atau badan pengurusan) diwajibkan mengasingkan sisa pepejal, menyediakan tong sisa pepejal yang sesuai, melantik kontraktor berlesen bagi perkhidmatan pemungutan dan menyimpan rekod berhubung perkhidmatan pemungutan. Mana-mana penghasil sisa dari sektor CII yang gagal mematuhi keperluan peraturan ini dan menyebabkan berlakunya pembuangan dan pelupusan secara haram, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebih RM10,000.


  1. Berdasarkan semakan pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, tanah yang dijadikan sebagai tapak pelupusan haram bukan merupakan tanah milik Kerajaan, tetapi ia merupakan tanah milik Sime Darby Property. PDT Klang telah mengeluarkan Notis 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) dan notis tamat pada 26 Mei 2023. PDT Klang juga telah memberikan kelulusan pelanjutan tempoh remedi tanah kepada pihak Sime Darby sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan.


  1. Manakala bagi Majlis Perbandaran Klang, sebanyak 4 operasi pemadaman kebakaran telah dijalankan iaitu pada 17 hingga 20 Mei 2023, 2 Ogos 2023, 4 September 2023 dan 21 September 2023. Setakat ini, tiada sitaan yang dibuat oleh kedua-dua pihak kerana lokasi telah ditutup sepenuhnya.


Sekian, terima kasih. ​

Attachments