Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

16 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

35

Soalan

Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah [ Paya Besar ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan status rantaian nilai dalam sektor berkaitan tenaga hijau termasuk dari industri tenaga boleh diperbaharui, penstoran tenaga, teknologi nyah karbon, teknologi tenaga baru seperti hidrogen dan sebagainya.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Tenaga solar merupakan salah satu sumber tenaga boleh baharu yang paling cepat berkembang di Malaysia bagi penjanaan tenaga bersih, berikutan lokasi Malaysia yang berhampiran garisan khatulistiwa dan penerimaan cahaya matahari yang signifikan. Rantaian nilai untuk tenaga solar termasuk pengeluaran dan pemasangan panel solar, inverter dan komponen-komponen lain yang berkaitan. Malaysia merupakan hub utama pengeluaran komponen solar dengan kehadiran syarikat-syarikat seperti First Solar, Panasonic, Jinko Solar, SunPower, Q-Cells, SunEdison dan lain-lain. Bagi pemasangan sistem solar, sehingga tahun 2021, sebanyak 198 syarikat telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) sebagai Penyedia Perkhidmatan PV Berdaftar (RPVSP), manakala 211 syarikat telah berdaftar sebagai Pelabur PV Berdaftar (RPVI). Potensi tenaga solar dijangkakan sebanyak 269GW di seluruh negara.

  2. Bagi hidrokuasa, potensi untuk hidrokuasa kecil dianggarkan sebanyak 2.5GW di mana kebanyakan potensi adalah di Semenanjung Malaysia, manakala potensi untuk hidrokuasa besar dianggarkan sebanyak 13.6GW di mana 73% (10GW) dari jumlah tersebut adalah di bahagian tengah dan utara negeri Sarawak. Rantaian nilai hidrokuasa termasuk pembinaan dan penyelenggaraan empangan, turbin, dan infrastruktur yang berkaitan.

  3. Malaysia juga mempunyai potensi yang besar untuk menjana tenaga dari sumber biojisim dan biogas disebabkan kewujudan industri pertanian dan minyak sawit yang besar. Jumlah potensi sumber biotenaga di Malaysia termasuk biojisim dan biogas dianggarkan sebanyak 3.6GW. Rantaian nilai untuk sumber ini termasuk pengumpulan sisa, pemprosesan dan penjanaan tenaga.

  4. Potensi tenaga angin di Malaysia agak terhad berikutan purata kelajuan angin adalah di bawah 5 m/s. Walau bagaimanapun, beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia dan utara Sabah mempunyai kelajuan angin yang lebih tinggi dan berpotensi untuk pemasangan turbin angin. Rantaian nilai untuk tenaga angin termasuk pembuatan dan pemasangan turbin angin, bilah dan komponen-komponen lain.

  5. Malaysia juga telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk penghasilan tenaga dari geoterma iaitu di Tawau, Sabah (67MW) dan Ulu Slim, Perak (162MW). Rantaian nilai untuk geoterma termasuk pembuatan dan pemasangan sistem pengeluaran wap panas, turbin dan komponen-komponen lain.

  6. Rantaian nilai untuk penyimpanan tenaga merangkumi pengeluaran dan pemasangan teknologi-teknologi berkaitan bateri yang sedang pesat membangun. Pada tahun ini, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) tempatan pertama telah dilancarkan.

  7. Bagi teknologi nyahkarbon, syarikat-syarikat tempatan seperti TNB dan PETRONAS sedang giat menjalankan kajian, pembangunan dan inovasi.

  8. Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor tenaga boleh baharu pada tahun 2021 melibatkan 76.7% pelaburan domestik (RM2.3 billion) dan 23.3% pelaburan asing (RM0.7 billion), menjadikan jumlah pelaburan diluluskan pada tahun tersebut sebanyak RM3 billion, melibatkan 842 projek.

  9. Berdasarkan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia 2022-2035, untuk sasaran kapasiti baharu, jangkaan pelaburan dalam bidang tenaga boleh baharu untuk tempoh 2021-2025 adalah RM19.93 billion, manakala bagi tempoh 2026-2035 adalah RM33.07 billion. Potensi peluang pekerjaan pula adalah sebanyak 28,416 menjelang tahun 2025 dan 46,636 menjelang tahun 2035.

  10. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui agensinya, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) juga telah memperkenalkan MyHijau Mark untuk mengiktiraf produk dan penyedia perkhidmatan hijau. Produk dan penyedia perkhidmatan yang diiktiraf akan disenaraikan dalam Direktori MyHijau untuk memudahkan pengguna mendapatkan senarai produk dan penyedia perkhidmatan hijau, termasuklah berkaitan tenaga boleh baharu.


  1. Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membangunkan Hydrogen Economy and Technology Roadmap (HETR)  di mana 9 strategi dan 25 pelan tindakan. HETR juga akan menyokong pelaksanaan Dasar Tenaga Negara dan roadmap peralihan tenaga (National Energy Transition Roadmap). Pelaksanaan strategi dan pelan tindakan adalah menjurus kepada pembangunan infrastruktur dan rantaian nilai ekonomi hidrogen yang menjangkakan 


penjanaan pendapatan daripada eksport hidrogen hijau sebanyak RM 20 billion manakala pasaran domestik sebanyak RM21.2 billion (sekiranya dipacu oleh sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca) menjelang tahun 2030. Nilai ini akan meningkat kepada RM409 bilion (pasaran eksport) dan  RM367 billion (pasaran domestik) menjelang tahun 2050. Selain itu, dijangkakan sebanyak 44,814 peluang pekerjaan dapat diwujudkan menjelang tahun 2030 dan bilangan ini boleh meningkat kepada 211,688 pada tahun 2050.       
                                                                                                                                                                                                                                                                                                           

  1. Pembangunan ekosistem dan rantaian nilai disasarkan meliputi industri bekalan elektrik, pengangkutan darat, kegunaan bukan tenaga dan haba dan pengangkutan marin. Pada ketika ini, beberapa projek kerjasama, kajian kebolehlaksanaan, pemindahan teknologi dan inovasi teknologi tempatan sedang giat dijalankan bagi menyediakan bekalan dan permintaan kepada ekonomi hidrogen. Demonstrasi projek didahului oleh negeri Sarawak dengan penggunaan 5 unit kenderaan Hydrogen Fuel Cell vehicle (FCEV) model Toyota MIRAi dengan peluasan Multipurpose Refuelling Station yang turun menyediakan pusat pengisian bahan api hidrogen. Pelaksanaan projek pilot untuk pusat pengisian bahan api hidrogen yang pertama di Semenanjung Malaysia juga sedang dirancang.                                                                                                                                                                                                                                  

 

Sekian, terima kasih.​

Attachments