Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

16 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

50

Soalan

Tuan Che Alias bin Hamid [ Kemaman ] minta MENTERI SUMBER ASLI,

ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan :-


a) senarai industri yang terlibat dalam perdagangan karbon kredit di Malaysia; dan


b) mekanisme yang digunakan bagi mengukur karbon kredit untuk dijual kepada negara lain.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) di peringkat fasiliti dan nasional, instrumen pasaran karbon boleh dilaksanakan. Mekanisme ini membolehkan urusniaga kredit karbon dilaksanakan melalui sistem atau platform urusniaga (pasaran karbon). Secara umumnya mekanisme pasaran karbon merupakan pilihan alternatif yang ekonomik untuk mengimbangi pelepasan GHG bagi mencapai sasaran atau matlamat tertentu terutama di dalam industri yang ‘hard to abate’.


2. Sehubungan itu, mekanisme pasaran karbon di Malaysia akan memberi tumpuan kepada industri berkaitan sektor tenaga, industri pemprosesan dan guna produk (industrial processes and product use – IPPU) dan sisa bagi menjana insentif kewangan yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi hijau dan usaha kemampanan yang dilaksanakan di peringkat domestik.  


3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, negara ahli kepada Perjanjian Paris yang ingin mencapai sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) negara masing-masing boleh membeli kredit karbon dari negara lain. Namun begitu, Artikel 6 di bawah Perjanjian Paris ini masih belum beroperasi dan masih dirundingkan. Dalam hal ini, Bursa Malaysia telah membangunkan Bursa Carbon Exchange (BCX) yang merupakan platform perdagangan pasaran karbon sukarela atau voluntary carbon market (VCM) patuh syariah yang pertama di dunia yang dilancarkan pada 9 Disember 2022. Oleh yang demikian, syarikat-syarikat boleh menjalankan urusniaga di bawah pasaran karbon sukarela yang membolehkan urusniaga merentas sempadan negara bagi tujuan sukarela dan bukan untuk tujuan mencapai sasaran NDC. 


4. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kredit karbon boleh dijana melalui projek karbon yang menjalankan aktiviti pengurangan pelepasan GHG mengikut piawaian (standard) tertentu seperti Verra, Gold Standard, Carbon Trade eXchange (CTX), Climate Impact X (CIX) dan badan piawaian di bawah UNFCCC.


5. Setiap piawaian ini mempunyai kaedah pengiraan yang perlu dipatuhi. Pelaksanaan projek karbon akan menjana kredit karbon dalam jumlah tertentu yang perlu melalui proses verifikasi dan validasi oleh 3rd party validation and verification bodies (VVBs). Pengoperasi piawaian (standard operator) hanya akan menerbitkan kredit yang telah melalui proses verifikasi dan validasi oleh VVBs. 



Sekian, terima kasih.​

Attachments