Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

19 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

12

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan :-


a) perkembangan kerjasama dan rundingan dengan negara-negara jiran bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan; dan


b) tahap kesiapsiagaan sistem pantauan kualiti udara negara dalam menghadapi musim kemarau dalam bulan-bulan mendatang.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Masalah jerebu rentas sempadan merupakan isu yang sering dihadapi oleh negara-negara di rantau Asia Tenggara. Fenomena ini berlaku disebabkan oleh aktiviti pembakaran hutan dan pembersihan ladang bagi penanaman semula yang dilakukan ketika musim cuaca panas dan kering dan diburukkan lagi dengan pergerakan angin yang bertiup membawa asap jerebu ke rantau ini.


  1. Inisiatif peringkat antarabangsa bagi menangani pencemaran jerebu merentas sempadan telah bermula sejak tahun 2002 dengan termeterainya Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution – AATHP) yang ditandatangani oleh 10 buah negara ASEAN di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002.

 

  1. Di bawah perjanjian ini, Meeting of the Committee Under the Conference of the Parties (COM) dan Conference of the Parties (COP) to the AATHP melibatkan semua negara anggota ASEAN serta Technical Working Group (TWG) dan Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) on Transboundary Haze Pollution melibatkan 5 negara di Selatan rantau ASEAN (Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand) diadakan setiap tahun bagi memantau situasi cuaca, keadaan jerebu dan membincangkan langkah-langkah pencegahan kejadian jerebu merentas sempadan di rantau ini.

 

  1. Saya telah mengetuai Delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Ke-24 TWG dan MSC pada 7 dan 8 Jun di Singapura. Terkini, pada 22 hingga 24 Ogos 2023, Delegasi Malaysia diketuai oleh YB Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah menghadiri Mesyuarat ke-17 Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN, Mesyuarat ke-18 COP AATHP dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang telah diadakan di Vientiane, Lao PDR.  Melalui mesyuarat ini, dilaporkan bahawa fenomena El Niño dijangka akan berpanjangan sehingga pertengahan tahun hadapan. Semua negara anggota ASEAN telah melaporkan tindakan dan strategi masing-masing dalam pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu serta komitmen untuk bersama-sama memastikan inisiatif-inisiatif yang ditetapkan di dalam Second ASEAN Haze-Free Roadmap dilaksanakan dengan sempurna bagi mencapai matlamat ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030.


  1. Dalam pada itu, Perjanjian Penubuhan ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) telah dimuktamadkan. Melalui penubuhan ACC THPC yang berpusat di Indonesia kelak, pengurusan kebakaran dan insiden jerebu merentas sempadan akan lebih terselaras seiring dengan pelaksanaan AATHP sepenuhnya. Malaysia telah menyatakan sokongan kepada penubuhan pusat ini dan sentiasa komited serta sedia bekerjasama ke arah penubuhan dan pengoperasian pusat ini terutamanya dalam bidang pembangunan keupayaan (capacity building), perkongsian maklumat dan kepakaran dalam aspek penguatkuasaan undang-undang pembakaran terbuka, teknologi perladangan tanpa pembakaran (zero burning), pengurusan tanah gambut yang mampan dan latihan pemadaman kebakaran.


  1. Selain itu, Malaysia turut mengadakan kerjasama dua hala dengan kerajaan Indonesia bagi usaha-usaha pencegahan jerebu secara 'Government to Government' di bawah kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan. Perjanjian dua hala seperti yang dimeterai oleh Amerika Syarikat dan Kanada melalui US-Canada Air Quality Agreement juga boleh dicontohi dengan keberkesanan yang terbukti. Namun usaha ini memerlukan komitmen kedua-dua pihak dan Kerajaan Malaysia sedia untuk terus berunding agar isu ini dapat diselesaikan bersama.


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi jerebu dan cuaca kering dalam negara, saya juga telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2023 (26 Mei 2023) dan Bil. 2 Tahun 2023 (12 September 2023). Mesyuarat ini diadakan bagi melaporkan status terkini keadaan cuaca, kualiti udara, merancang tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat, di samping mengatur persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya insiden jerebu merentas sempadan. Mesyuarat ini dihadiri oleh kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta Kerajaan Negeri termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan bekerjasama dalam mengambil tindakan sekiranya berlaku jerebu.



  1. Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) juga telah dirujuk sebagai garis panduan untuk membolehkan agensi-agensi terlibat dalam pengurusan bencana jerebu untuk mengambil tindakan pantas, terselaras dan bersepadu bagi menangani insiden jerebu. Sehubungan itu, semua kementerian, jabatan dan agensi terlibat dipohon untuk terus peka kepada situasi jerebu semasa dan mengambil tindakan di bawah bidang kuasa dan fungsi masing-masing di bawah PTJK ini berdasarkan tahap amaran dan bacaan IPU.


  1. Antara tindakan-tindakan lain adalah seperti mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang akan digerakkan oleh NADMA apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam, menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100, penutupan sekolah, tadika dan taska serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200 serta melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA).


  1. Kementerian juga turut mengambil beberapa langkah proaktif seperti berikut:


  1. pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) sejak 2 April 2023 bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka oleh kementerian, jabatan dan agensi terlibat;


  1. pengaktifan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Standard Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri dan agensi-agensi negeri terbabit pada 29 Mac 2023;


  1. kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron juga dipertingkatkan di kawasan berisiko dan mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah oleh Pihak Berkuasa Negeri;


  1. pelaksanaan penguatkuasaan secara bersepadu dan penguatkuasaan Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), di mana mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 (lima ratus ribu ringgit) atau penjara selama tempoh sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Disamping itu, kompaun sehingga RM2,000 (dua ribu ringgit) boleh dikenakan atas setiap kesalahan;


  1. pemantauan komuniti turut diperkasakan melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka;


  1. program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam dan program penyertaan komuniti turut dipertingkatkan sebagai tindakan pencegahan; dan


  1. pemantauan berterusan status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik JAS dan status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).


  1. Selain itu, program-program peningkatan keupayaan, kesedaran, pendidikan, pembangunan infrastruktur bagi mencegah kebakaran kawasan tanah gambut yang sering terbakar dan sistem amaran awal merupakan antara usaha jangka pendek yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah pembakaran terbuka dan jerebu setempat (di dalam negara) serta jerebu rentas sempadan.


  1. Kerajaan Malaysia tidak menolak sebarang cadangan untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan termasuklah keperluan Akta baru, tetapi ia perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor-faktor keberkesanan perundangan dalam dan luar negara. Kementerian ini juga akan mengadakan sesi libat urus dengan Panel Penasihat dan Panel Konsultasi yang telah ditubuhkan serta pihak-pihak berkepentingan dan pakar-pakar agar memperoleh penyelesaian yang holistik kepada permasalahan ini. 


Sekian, terima kasih.​

Attachments