Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

19 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

35

Soalan

Datuk Seri Panglima Madius Tangau [ Tuaran ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah persediaan yang dibuat oleh Kerajaan Sabah untuk memastikan agar kerangka urus tadbir bekalan elektrik apabila hal bekalan elektrik di-assignkan balik ke Sabah.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, peralihan kuasa kerangka urus tadbir bekalan elektrik Sabah dibincangkan melalui Mesyuarat  Jawatankuasa Pemandu Bil. 1/2023 pada 12 Jun 2023 dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bil. 1/2023 pada 21 Julai 2023 mengenai Penyerahan Kuasa Pembekalan Elektrik Negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah (KNS).  Mesyuarat ini telah dipengerusikan secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dengan KNS serta dihadiri oleh kementerian dan agensi pusat daripada Kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi daripada KNS. 


  1. Kerajaan Persekutuan akan mewartakan Perintah di bawah Perkara 95C serta penggantungan penguatkuasaan akta-akta berkaitan pembekalan elektrik di negeri Sabah berkuatkuasa pada 3 Januari 2024 seperti berikut:


  1. Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447];

  2. Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 [Akta 610];

  3. Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 [Akta 725]; dan

  4. Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 [Akta 726].


  1. Kerajaan Negeri Sabah telah membuat persediaan yang sewajarnya untuk menyambut peralihan kuasa pembekalan elektrik di negeri Sabah seperti berikut:

  1. menyediakan Draf Enakmen Bekalan Elektrik Negeri Sabah bagi menyambut peralihan kuasa dan penggantungan akta-akta yang berkaitan;

  2. melancarkan Energy Sabah Roadmap pada 19 September 2023 yang telah menetapkan sasaran dan hala tuju industri bekalan elektrik di negeri Sabah;

  3. mewujudkan Unit Tenaga Negeri Sabah di bawah kawal selia Pejabat Ketua Menteri Sabah yang berperanan sebagai  pengantara di antara Energy Commission of Sabah (ECoS) dengan KNS serta bertanggungjawab dalam penggubalan dasar dan polisi mengenai pembekalan elektrik di negeri Sabah;

  4. mewujudkan dan memperkukuhkan ECoS sebagai agensi kawal selia (regulator) Industri Bekalan Elektrik di negeri Sabah. Sehingga Ogos 2023, ECoS telah melaksanakan pengambilan 89 kakitangan dan mensasarkan pengambilan secara berfasa sehingga mencapai 100 kakitangan berkhidmat di ECoS; dan

  5. ECoS juga turut memperkukuhkan pengoperasian tadbir urus dengan  menyediakan kemudahan logistik, pelantikan anggota suruhanjaya, penyediaan prosedur dalaman dan urusan pentadbiran untuk mengambil alih kawal selia bekalan elektrik dan Tenaga Boleh Baharu (TBB).


  1. Bagi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), syarikat utiliti ini masih lagi  beroperasi sebagai syarikat utiliti di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dan penyerahan SESB kepada KNS hanya akan dilaksanakan setelah pelan transformasi SESB selesai yang dijangka pada tahun 2030.


Sekian, terima kasih.​

Attachments