Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

19 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

45

Soalan

Dato' Ngeh Koo Ham [ Beruas ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan insiden-insiden kerosakan (termasuk jumlah kerugian) dan kematian manusia yang disebabkan oleh gajah dalam 5 tahun yang lepas. Apakah langkah-langkah yang telah diambil dan akan diambil untuk mengatasi masalah ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, nilai kerugian yang dianggarkan daripada konflik manusia dan gajah yang dilaporkan adalah berjumlah RM39.9 juta bagi tempoh 2018 hingga 2022. Sementara itu, seramai 16 mangsa serangan gajah telah dilaporkan untuk tempoh yang sama melibatkan 10 kematian dan 6 kecederaan. Untuk tahun 2023 sehingga Jun 2023, sebanyak RM315,340.00 anggaran kerugian telah direkodkan dengan 2 kes kecederaan dan 3 kes kematian dilaporkan.


Konflik manusia dan gajah berlaku kerana kegiatan guna tanah manusia seperti pembukaan kawasan untuk perladangan dan pertanian yang mengakibatkan kehilangan serta pemisahan habitat gajah. Keperluan gajah untuk mendapatkan makanan yang banyak serta kawasan keliaran yang luas juga telah meningkatkan risiko berlakunya konflik manusia dan gajah. 


Menyedari kepentingan untuk menangani isu ini, pihak Jabatan PERHILITAN telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Konflik Manusia-Hidupan Liar di Semenanjung Malaysia. Jawatankuasa ini turut melibatkan antaranya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri bagi meneliti isu-isu konflik serta merangka pelan pelaksanaan pengurusan konflik hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia.


Selain itu, Jabatan PERHILITAN juga turut menjalankan pelbagai usaha mitigasi seperti berikut:


  1. menubuhkan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang, Pahang bagi menyelaras tindakan pengurusan konflik gajah di seluruh Semenanjung Malaysia. Selain itu, Santuari Gajah Johor telah dibangunkan bagi menempatkan gajah-gajah konflik sementara Santuari Gajah Perak sedang dalam pembinaan;


  1. menjalankan aktiviti pemantauan dan kawalan apabila menerima aduan konflik daripada orang ramai;


  1. menjalankan aktiviti tembak halau bagi menakutkan gajah dan menghalau gajah kembali ke dalam hutan;


  1. menjalankan operasi tangkapan dan pemindahan gajah ke habitat yang lebih sesuai. Ini merupakan jalan terakhir kerana ia melibatkan kos operasi yang tinggi;


  1. menjalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah melalui pemasangan kolar satelit yang berfungsi sebagai sistem amaran awal (early warning system) bagi mengesan pergerakan gajah ke kawasan pertanian atau penempatan manusia;


  1. menjalankan program kesedaran awam dan libat urus dengan pemegang taruh yang terlibat termasuk masyarakat setempat dan pengusaha ladang;


  1. membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) terutamanya di kawasan kampung atau pertanian tradisional yang berdekatan dengan habitat utama gajah; dan


  1. membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) sebagai garis panduan dan rujukan oleh pemegang taruh dalam pengurusan gajah di Semenanjung Malaysia.


Di samping itu, kerjasama serta tanggungjawab semua pemegang taruh adalah sangat penting terutamanya melibatkan pembangunan guna tanah serta amalan terbaik pengurusan ladang.


Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga sedang merangka mekanisme pemberian bantuan bagi kerugian dan kerosakan tanaman serta harta benda akibat konflik hidupan liar kepada kumpulan sasar yang berkaitan.


Sekian, terima kasih.​

Attachments