Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

25 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

6

Soalan

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [ Kubang Pasu ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan langkah Kerajaan bagi mengurangkan Non-Revenue Water (Air Tidak Terhasil) bagi negeri-negeri yang peratusnya lebih tinggi dari purata nasional (37.2%) seperti negeri Kedah.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Kerajaan Persekutuan komited dalam membantu operator bekalan air negeri mengurangkan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water-NRW) secara holistik dan berterusan. Pelaksanaan Program Pengurangan NRW Kebangsaan telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), dan disambung di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Dalam hal ini, sebanyak RM1.9 bilion telah disediakan bagi melaksanakan program melalui dua pendekatan seperti berikut:


  1. Pendekatan 1 yang dilaksanakan dengan penyediaan peruntukan secara geran sebanyak RM535.4 juta. Objektif program adalah untuk menyediakan infrastruktur asas bagi membolehkan pengukuran NRW secara tepat. Negeri-negeri yang terlibat di bawah pendekatan ini merupakan negeri-negeri yang mempunyai kadar NRW sebanyak 40% dan ke atas, iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak; dan


  1. Pendekatan 2 yang dilaksanakan secara pemberian insentif melalui geran sepadan dengan peruntukan sebanyak RM1.37 bilion. Sekiranya sasaran NRW yang ditetapkan dapat dicapai, Kerajaan Persekutuan akan membiayai 50% atau 75% daripada perbelanjaan tahunan bagi kerja-kerja yang dilaksanakan untuk menurunkan kadar NRW tersebut. Negeri-negeri yang terlibat di bawah pendekatan ini merupakan negeri-negeri yang mempunyai kadar NRW di bawah 40% iaitu Negeri Terengganu, Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.

 

  1. Sebagai makluman, terdapat dua projek yang telah dilaksanakan di Kedah di bawah pendekatan 1 yang dilaksanakan oleh Bahagian Bekalan Air (BBA), NRECC bermula tahun 2020 seperti berikut:


  1. Program NRW Pendekatan 1 Negeri Kedah melibatkan pemasangan fasiliti asas bagi pengiraan NRW secara tepat merangkumi skop kerja pemasangan meter System Input Volume (SIV), penggantian meter pengguna, pembaikan tangki-tangki dan penyediaan Geographic Information System (GIS). Projek ini telah siap pada Julai 2023 dengan kos RM25.9 juta.


  1. Program NRW Pendekatan 1 Pulau Langkawi secara holistik dengan kos RM46.7 juta. Projek ini dijangka siap pada suku pertama tahun 2024.


  1. Setelah Program NRW Pendekatan 1 Negeri Kedah dan Langkawi siap, Syarikat Air Darul Aman (SADA) adalah layak untuk menyertai Program Pengurangan NRW di bawah Pendekatan 2 tanpa mengambil kira pencapaian NRW semasa.


Sekian, terima kasih.



Attachments