Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

25 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

47

Soalan

Tuan Lim Guan Eng [ Bagan ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan nilai nadir bumi yang boleh dilombong di Malaysia dan apakah nilai downstream selepas diproses serta memandangkan sisanya adalah amat toksik, nyatakan jaminan untuk memastikan semua kawalan alam sekitar dipatuhi demi keselamatan dan kesihatan rakyat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Berdasarkan kajian penilaian potensi sumber mineral negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dianggar (Inferred Resources – IR) adalah berjumlah 16.2 juta tan dengan nilai sebanyak RM800 bilion.


  1. Seterusnya, kajian model perniagaan (business model) bagi pembangunan industri NR-REE di Malaysia yang sedang dimuktamadkan di peringkat Kementerian, menjangkakan pembangunan industri ini di peringkat hiliran pada tahun 2030 melalui pengeluaran super magnet boleh mencecah sehingga RM8.27 bilion, manakala pengeluaran motor elektrik boleh mencecah RM5.46 bilion. Nilai ini tidak termasuk penggunaan hasil sumber NR-REE yang terproses bagi penghasilan produk-produk hiliran yang lain seperti bateri, perkakas elektrik dan peralatan perubatan.


  1. Walaubagaimanapun, nilai industri hiliran ini bergantung kepada beberapa faktor seperti jumlah sebenar sumber NR-REE yang boleh dilombong, kuantiti pengeluaran lombong serta kecekapan pemprosesan NR-REE tempatan di samping status tanah tersebut. Pada masa ini, rantaian industri NR-REE di peringkat pertengahan hingga ke peringkat hiliran masih lagi dalam peringkat perancangan untuk dibangunkan.


  1. Untuk makluman YB juga, tidak seperti sumber REE dari kebanyakan negara lain dari jenis berbeza, sumber NR-REE daripada lempung jerapan ion yang tertabur secara meluas terutama di kawasan batuan granitik terluluhawa di Malaysia adalah bersifat bukan radioaktif yang berpotensi dilombong secara berekonomi.


  1. Seterusnya, kaedah perlombongan secara in-situ leaching (ISL) yang digunakan bagi mengekstrak sumber NR-REE merupakan kaedah yang lebih selamat dan mesra alam dari aspek meminimumkan impak terhadap permukaan bumi, kadar pelepasan gas rumah hijau, serta gangguan habuk dan bunyi, berbanding kaedah perlombongan terbuka yang lazim digunakan. Namun, ia sudah tentu tertakluk kepada syarat pengoperasian serta kawalselia air permukaan dan bawah tanah yang mampan sebagaimana yang disyaratkan di dalam kelulusan Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme - OMS) dan kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment – EIA).


  1. Bagi memastikan aktiviti perlombongan tidak memberikan impak kepada alam sekitar dan kacau ganggu kepada penduduk setempat, pemantauan dan kawalan secara berterusan dilaksanakan melalui pelbagai mekanisma termasuklah pemantauan kualiti efluen/air di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016, Pelan Pengurusan Alam Sekitar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga Pelan Pemulihan Lombong. Penekanan terhadap kawalan alam sekitar ini dinyatakan dengan jelas di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).​


Sekian, terima kasih.

Attachments