Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 31 October 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Air | Nombor Soalan | 7 | Soalan | Puan Isnaraissah Munirah Majilis [ Kota Belud ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan secara terperinci kos keseluruhan (jenis projek dan penambahbaikan) dan garis masa yang ditetapkan bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di Sabah.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM2.526 bilion secara pinjaman di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi membiayai sebelas (11) projek bekalan air Sabah.
Selain itu, sebanyak RM192.9 juta pembiayaan secara geran telah diperuntukkan bagi Program Kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water- NRW) Nasional Pendekatan 1 serta Projek Naiktaraf dan Pembaikan Empangan Berisiko Tinggi di Negeri Sabah. Secara keseluruhannya, sebanyak RM203.29 juta diperuntukkan bagi tahun 2023 bagi memastikan pelaksanaan projek-projek bekalan air di Sabah berjalan lancar.
Tuan Yang di-Pertua, Sebanyak enam (6) projek telah siap dilaksanakan iaitu:
Projek Menaiktaraf Sistem Bekalan Air Kota Marudu; Pembinaan Loji Rawatan Air Kundasang; Pembinaan Loji Rawatan Air Baru Semporna;
Pembinaan Loji Rawatan Air Keningau; Program NRW Pendekatan 1 Kota Marudu; dan Program NRW Pendekatan 1 Sabah (Pakej 1).
Sebanyak tiga (3) projek yang dijadualkan siap pada suku keempat 2023, dua (2) projek dijadualkan siap pada tahun 2024, empat (4) projek dijadualkan siap pada tahun 2025 dan satu (1) projek dijadualkan siap pada tahun 2028.
Bagi Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebanyak 69 projek diluluskan bagi tahun 2023 dengan kos projek berjumlah RM3.35 bilion dan peruntukan berjumlah RM136.58 juta. Daripada 69 projek tersebut, 6 projek dalam proses lantikan perunding, 23 projek dalam reka bentuk, 2 projek dalam perolehan kerja, 15 projek dalam pelaksanaan dan 23 projek siap sepenuhnya/penutupan akaun. Skop projek di bawah Program BALB KKDW adalah meliputi BALB Retikulasi, BALB Alternatif dan BALB Naiktaraf/Bina Baharu Loji.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|