Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

31 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

24

Soalan

Dato' Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman [ Labuan ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan:-


  1. bilakah kerja-kerja menaik taraf paip-paip air di W.P. Labuan siap dilaksanakan sepenuhnya dan sampai bilakah tindakan bahagian bekalan air (BBA) yang mencatu bekalan air bersih setiap minggu dapat dihentikan; dan


  1. berapa lama lagi rakyat Labuan menderita akibat ketidakcekapan pihak pengurusan SESB kerana masalah gangguan bekalan elektrik semakin berlarutan dan bertambah teruk. Inikah penghormatan yang sepatutnya diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada Sabah apabila penyerahan Labuan yang bertujuan untuk dimaju dan dibangunkan namun setelah 39 tahun menjadi Wilayah Persekutuan yang ke-2, Labuan masih dan tetap lagi mundur sama ada dari aspek pembangunan mahupun ekonominya.

Jawapan

Soalan pertama (i) :

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan komited untuk mengurangkan gangguan bekalan air di Labuan. Kerja-kerja menaik taraf dan mengganti paip yang melibatkan peruntukan perbelanjaan yang besar sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.


  1. Di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP3, RMKe-12), terdapat 10 projek pembangunan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM448.3 juta. Projek-projek ini melibatkan 2 projek dalam peringkat perancangan, 2 projek dalam peringkat rekabentuk, 5 projek dalam peringkat pembinaan dan 1 projek yang telah siap. Kesemua projek ini meliputi kerja-kerja penggantian paip usang sepanjang 31.7km, pembinaan tangki simpanan air, Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water - NRW), menaiktaraf sistem takungan air mentah dan menaiktaraf empangan berisiko tinggi.


  1. Bahagian Bekalan Air Labuan melaksanakan catuan air terawat sekiranya berlaku gangguan utama di Terminal Tangki Simpanan Pulau Enoe seperti kerosakan teknikal pada Pam Fasa I dan Fasa II, serta keadaan semasa paras air di tangki-tangki imbangan & tangki perkhidmatan serta masalah luar jangka yang lain seperti gangguan bekalan elektrik dan saluran paip utama pecah.



  1. Pada tahun 2023, peruntukan belanja mengurus bagi kerja-kerja operasi dan penyenggaraan sistem bekalan air Labuan telah diluluskan sebanyak RM42.7 juta. Peruntukan sebanyak RM300 juta juga telah dimohon oleh NRECC sebagai cadangan Inisiatif Bajet 2024 bagi membantu mengatasi masalah bekalan air di Wilayah Persekutuan Labuan.



Soalan kedua (ii) :

Tuan Yang di-Pertua,

 Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, 

1)         Prestasi sistem pembekalan elektrik di Sabah dipantau dengan menggunakan indeks purata tempoh gangguan sistem atau System Average Interruption Duration Index (SAIDI) dengan izin, yang mengukur tempoh gangguan bekalan elektrik kepada pengguna dalam tempoh setahun. Sasaran SAIDI Negeri Sabah bagi tahun 2023 adalah sebanyak 250 minit/pengguna/tahun.

2)         Kadar SAIDI di Wilayah Persekutuan Labuan (sehingga 31 Julai 2023) adalah sebanyak 340.44 minit/pengguna/tahun. Pencapaian SAIDI ini adalah tidak memuaskan dan tidak mencapai sasaran yang telah disasarkan oleh Kerajaan. Hal ini berlaku disebabkan kurang rizab margin di Sabah iaitu 11.4% berbanding kadar optimum sepatutnya 30% dan juga disebabkan loji-loji janakuasa yang kurang.

3)         Oleh itu, bagi mengatasi masalah ketidakcukupan pembekalan elektrik di Sabah, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Energy Commission of Sabah (ECoS) telah membuat keputusan supaya meneliti opsyen-opsyen penjanaan seperti berikut:

(a)       penggunaan interim set generator SESB 100MW selama enam (6) bulan; 

(b)       melaksanakan semula Rental Sets 100MW di kawasan Pantai Barat Sabah; 

(c)       mempercepatkan penggunaan Battery Energy Storage System (BESS) 200MW pada tahun 2024 dan dilaksanakan oleh SESB; dan 

(d)       melanjutkan operasi stesen jana kuasa sedia ada (berdasarkan keperluan semasa).


4)         Cadangan-cadangan tersebut sedang diteliti oleh ST bersama-sama ECoS dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) sebelum diangkat untuk pertimbangan lanjut Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

5)           Selain daripada itu, pihak SESB juga sedang giat mencari sumber alternatif pembekalan lain seperti penyediaan genset tambahan untuk mengurangkan impak permintaan beban di waktu puncak.

Sekian, terima kasih.

Attachments