Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

31 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

27

Soalan

Tuan Lee Chuan How [ Ipoh Timor ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah inisiatif yang telah diambil untuk menggalakkan kajian dan pembangunan REE di Malaysia setakat ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Di dalam RMKe-11, Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah menerima peruntukan sebanyak RM3.9 juta bagi menjalankan kajian tinjauan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) meliputi kawasan seluas 12,150 kilometer persegi. Kajian susulan dilaksanakan dalam RMKe-12 dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.


  1. Berdasarkan hasil tinjauan pada RMKe-11, sumber teragak (inferred resources) NR-REE berjumlah 16 juta tan dengan nilai RM800 bilion telah dikenalpasti. Kajian susulan dalam RMKe-12 sehingga tahun 2022 bagi kawasan berkeluasan 37 kilometer persegi mendapati sejumlah 140,000 tan sumber terukur (measured resources) NR-REE dikenal pasti dengan nilai RM7.4 bilion.


  1. Kerajaan telah membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Negeri Perak yang menjadi asas kepada penyediaan SOP Perlombongan NR-REE di Malaysia. SOP ini menjadi garis panduan bagi pengawalseliaan aktiviti perlombongan mineral NR-REE agar ia dijalankan secara mampan dan bertanggungjawab.


  1. SOP tersebut menyediakan prosedur yang teratur bagi aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan, telah disemak dan dinilai oleh satu Jawatankuasa Eksekutif yang terdiri daripada individu-individu yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang perlombongan, hidrologi dan hidrogeologi.

  2. Kementerian juga telah menyediakan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021 – 2030) yang bertujuan untuk mempertingkatkan pembangunan dan pengurusan industri mineral dengan memberikan penekanan kepada penciptaan nilai tambah, diusahakan secara lestari dan mencipta industri sokongan termasuk penggunaan teknologi terkini dalam Revolusi Industri 4.0. Pelan TIM 2021 – 2030 ini merupakan satu perancangan bersifat holistik, di mana hasrat utama kerajaan adalah ingin membangunkan industri mineral secara menyeluruh dan bersepadu melalui transformasi di setiap peringkat rantaian nilai merangkumi sektor huluan, pertengahan dan hiliran.


  1. Pada masa ini, Kementerian di dalam peringkat akhir penyediaan Dasar Mineral Negara 3 yang turut menekankan penggunaan teknologi dan inovasi bagi industri mineral. Dasar ini dibangunkan selari dengan dasar-dasar utama sedia ada diantaranya Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Nasional 2021 -2030.


  1. Kementerian juga sedang dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan Kajian Cadangan Model Perniagaan (Business Model) Bagi Pembangunan Industri NR-REE di Malaysia dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia. Kajian tersebut memberikan kefahaman yang jelas terhadap keseluruhan ekosistem industri NR-REE di Malaysia, serta boleh dijadikan rujukan dan panduan dalam pembangunan industri NR-REE negara.

 

Sekian, terima kasih.​

Attachments