Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

31 October 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Ukur dan Pemetaan

Nombor Soalan

55

Soalan

Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong [ Ayer Hitam ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan pandangan dan pertimbangan Kerajaan terhadap gesaan untuk melaksanakan pemetaan semula persempadanan perairan Singapura dan Johor terutama di perairan Selat Tebrau susulan insiden nelayan tempatan dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


INPUT KEPADA MENTERI LUAR NEGERI


1. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berpandangan tiada keperluan kerja-kerja pemetaan semula persempadanan perairan Singapura dan Johor di Selat Tebrau memandangkan kerja-kerja ukuran dan penentuan sempadan secara bersama di kawasan berkenaan telah selesai pada tahun 1982.


2. Bagi tujuan memetakan dan menentukan kedudukan pertengahan alur air dalam (centre of deep water channel) di Selat Tebrau, kedua-dua negara telah melaksanakan kerja-kerja ukuran hidrografi secara bersama di sepanjang selat tersebut bermula dari 10 Mac 1980 hingga 3 Oktober 1981. Laporan pengukuran hidrografi secara bersama ini telah ditandatangani pada 12 Mac 1982 dan kemudiannya telah dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Sempadan Malaysia - Singapura yang telah diadakan di Singapura dari 15 hingga 16 April 1985.


3. Selepas beberapa siri rundingan, satu perjanjian berasaskan laporan ukuran hidrografi tersebut telah digubal yang dinamakan sebagai Agreement between the Government of Malaysia and the Government of the Republic of Singapore to Delimit Precisely the Territorial Waters Boundary in accordance with The Straits Settlement and Johore Territorial Waters Agreement 1927. Perjanjian tersebut telah ditandatangani dan diratifikasikan oleh Malaysia dan Singapura pada 7 Ogos 1995.


4. Sehubungan itu, dengan termeterainya Perjanjian Persempadanan Perairan Wilayah Malaysia - Singapura 1995, sempadan perairan Malaysia - Singapura di Selat Tebrau telah dimuktamadkan dan tidak harus dipertikaikan lagi. Walau bagaimanapun bagi kawasan-kawasan yang melangkaui titik W25 di sebelah barat dan titik E47 di sebelah timur Selat Tebrau, ianya masih belum dimuktamadkan. Oleh yang demikian, penentuan persempadanan maritim di kawasan-kawasan ini masih tertakluk kepada perundingan antara kedua-dua pihak.



Sekian, terima kasih. ​

Attachments