Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 06 November 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Air | Nombor Soalan | 28 | Soalan | Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan :-
a) status pelaksanaan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan Sungai Golok; dan
b) status pembinaan sistem bekalan air luar bandar (BALB) Kampung Pengkalan Nangka dan kawasan Tumpat, Kelantan yang telah diluluskan oleh Kementerian di bawah permohonan Rolling Plan 4. | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
JAWAPAN a)
Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 kini di peringkat pelaksanaan dengan kemajuan terkini di tapak sebanyak 92% sehingga akhir September 2023 dengan kos projek berjumlah RM699 juta. Projek ini dijangka siap pada Disember 2024 yang melibatkan skop seperti berikut:
Membaik pulih Sungai Pengkalan Datu dan Muara; Pembinaan Left Bank Flood Levee/Wall Kampung Palekbang- Kampung Kok Majid, Tumpat; Pembinaan Right Bank Flood Levee/Wall Kampung Tikat-Kampung Kedai Buluh, Kota Bharu; dan Pembinaan dua (2) Bay Control Gate Sungai Pinang & satu (1) Bay Control Gate Sungai Tikat
Manakala projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 - Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kota Bharu pula merupakan kesinambungan dan menyokong fungsi projek PLSB Sungai Kelantan Fasa 1. Lawatan tapak telah diadakan pada 14 September 2023. Projek ini dijangka bermula pada tahun 2024 dan siap tahun 2027 yang berjumlah RM879 juta dan kini dalam proses penilaian tender. Skop yang terlibat adalah pembinaan pam, pembinaan ban dan tembok penahan serta lain-lain kerja yang berkaitan. Kedua-dua projek ini dijangka akan memberi manfaat kepada 184,000 orang penduduk yang terjejas akibat bencana banjir akibat limpahan Sungai Kelantan.
Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPS juga sedang menyiapkan PLSB Sungai Golok Fasa 1 (KESBAN) dengan anggaran kos sebanyak RM656 juta. Tujuan utama projek ini adalah untuk mengurangkan risiko banjir di jajahan Tumpat. Kemajuan terkini di tapak sebanyak 76% sehingga 30 September 2023 dan dijangka siap pada Ogos 2024. Bagi KESBAN Fasa 2, masih di peringkat pra pelaksanaan melibatkan kawasan Pasir Mas, Rantau Panjang dan Jeli; dengan kos projek berjumlah RM879 juta dan kini proses penilaian tender. Skop yang terlibat adalah pembinaan pam, pembinaan ban dan tembok penahan serta lain-lain kerja yang berkaitan. Bagi KESBAN Fasa 3, masih di peringkat pra pelaksanaan dengan kos projek berjumlah RM472 juta. Lawatan tender bagi projek ini telah dijalankan pada 13 September 2023. Pihak kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak (KESBAN Fasa 1) dan pemantauan projek dilaksanakan oleh JPS Negeri Kelantan. Projek ini dijangka akan memberi manfaat kepada 57,000 orang penduduk yang terjejas akibat bencana banjir akibat limpahan sungai di Rantau Panjang. Kementerian akan memastikan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
JAWAPAN b)
Pembinaan sistem bekalan air luar bandar (BALB) Kampung Pengkalan Nangka dan kawasan Tumpat, Kelantan
Projek bekalan air luar bandar (BALB) Kampung Pengkalan Nangka dan kawasan sekitar, Tumpat telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3 (RP3) tahun 2023 dengan kos keseluruhan berjumlah RM75 juta.
Projek ini melibatkan skop pembinaan sebuah loji rawatan air baharu dengan kapasiti dianggarkan 30 hingga 50 juta liter sehari, tangki menara dan pemasangan paip agihan utama kepada sistem agihan sedia ada. Projek ini akan meningkatkan bekalan air kepada sebahagian besar kawasan Jajahan Tumpat termasuk Bandar Tumpat, Pantai Seri Tujuh, Pengkalan Kubur, Cabang Empat dan kawasan sekitar.
Projek ini adalah dalam proses pelantikan perunding reka bentuk oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan dijangka selesai proses reka bentuk bagi kelulusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Makmal Pengurusan Nilai dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada awal tahun 2025 sebelum boleh ditender bagi pembinaan. Projek ini juga memerlukan pengambilan tanah bagi tapak loji serta kajian hidrologi sumber air sungai oleh pihak Kerajaan Negeri / AKSB sebelum reka bentuk projek dapat disiapkan dan sedia untuk tender pembinaan.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|