Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

06 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

33

Soalan

Tuan Tan Hong Pin [ Bakri ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan status peningkatan ketelusan dan keberkesanan dengan Bursa Malaysia dalam usaha membuktikan syarikat Malaysia tidak terlibat dalam jerebu serantau di Indonesia dan juga status menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan sebagai langkah membuktikan syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia tidak terlibat dalam kebakaran hutan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

  1. Kementerian telah mengadakan mesyuarat bersama Bursa Malaysia Berhad, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi mendapatkan pandangan dan sebagai langkah kerjasama untuk menangani isu jerebu merentas sempadan. Dalam hubungan ini, Bursa Malaysia Berhad memaklumkan bahawa satu sistem pelaporan tahunan iaitu Sustainability Report telah diwujudkan di mana syarikat tersenarai perlu mengemukakan pelaporan tahunan yang merangkumi penilaian kandungan bahan, skop geografi kawasan, inisiatif dan metodologi yang digunakan. Pelaporan ini adalah bagi menilai kepatuhan kepada environmental, social and governance (ESG).


  1. Kementerian juga telah mengemukakan surat kepada syarikat perladangan milik Malaysia atau syarikat berkaitan Malaysia yang  beroperasi di dalam negara dan di Indonesia untuk  memastikan langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan ladang diambil sewajarnya bagi mengelak berlakunya kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama insiden jerebu tempatan dan jerebu merentas sempadan di rantau ini.

Ahli Yang Berhormat,

  1. Kementerian juga telah meneliti kewajaran penggubalan Rang Undang-Undang Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dari pelbagai sudut merangkumi kebolehlaksanaan undang-undang yang akan digubal, hubungan diplomatik dan kepentingan pencegahan pencemaran alam sekitar. Berdasarkan penelitian yang telah dibuat, Kerajaan tidak akan meneruskan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. Perkara ini mengambil kira maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara dan pandangan pakar undang-undang berhubung kesukaran mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi tujuan pendakwaan.


  1. Bagi membolehkan penguatkuasaan RUU Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, bukti jelas bahawa jerebu merentas sempadan yang berlaku adalah berpunca dari negara jiran perlu disokong oleh data-data yang mencukupi seperti peta lokasi, koordinat, maklumat pemilik tanah dan syarikat yang beroperasi di lokasi kebakaran. Perkara ini melibatkan kerahsiaan, keselamatan dan kedaulatan negara yang menjadi punca jerebu. Selain itu, maklumat syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di negara luar juga sukar diperoleh memandangkan majoriti ekuiti dipegang oleh rakyat tempatan di negara syarikat beroperasi.


  1. Pencemaran jerebu merentas sempadan tidak dapat diselesaikan hanya dengan penggubalan undang-undang semata-mata. Pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan bagi mencegah dan mengurangkan intensiti jerebu merentas sempadan. Kementerian telah merangka strategi, inisiatif, langkah-langkah pencegahan serta mengutamakan pendekatan secara diplomasi melalui rundingan dua hala dan pelbagai hala dalam menangani masalah ini.


  1. Pendekatan secara diplomasi dan rundingan adalah jalan yang lebih baik untuk menangani isu jerebu merentas sempadan secara kolektif. Dalam hal ini, Kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara holistik melalui hubungan diplomatik yang erat dan kerjasama teknikal bagi memantapkan lagi keupayaan antara negara khususnya dalam bidang kajian saintifik dan penggunaan teknologi terkini berkaitan pengurusan tanah gambut serta operasi pemadaman kebakaran. Perkara ini juga adalah selaras dengan Artikel 16 (Kerjasama Teknikal) dan Artikel 17 (Kajian Saintifik) di bawah AATHP yang menekankan perkongsian kepakaran teknologi, teknik dan pengetahuan serta menyokong pelaksanaan kajian saintifik dan teknikal berhubung pengurusan kebakaran tanah gambut dan hutan serta kaedah pemadaman kebakaran yang berkesan.


  1. Selain itu, Kerajaan juga akan meneliti dan menambahbaik pelan komunikasi insiden jerebu merentas sempadan bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, berkesan serta mengelakkan pertikaian yang mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara jiran.


  1. Selain itu, Malaysia turut mengadakan kerjasama dua hala dengan kerajaan Indonesia bagi usaha-usaha pencegahan jerebu secara “Government-to-Government” di bawah kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. Pihak Indonesia telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menangani masalah jerebu merentas sempadan sejak kejadian jerebu 2015 dan telah melaksanakan “Indonesia’s Plan of Action (PoA) in Dealing with Transboundary Haze Pollution” melalui inisiatif berikut:


  1. penubuhan agensi khas bagi memulihkan tanah-tanah gambut yang telah terbakar (Peat Restoration Agency);


  1. pelaksanaan “One Map Policy” iaitu pembangunan peta digital/geospatial bagi seluruh Indonesia; dan


  1. pelaksanaan Arahan Presiden (Presidential Directive) yang berkuatkuasa pada 18 Januari 2016. Ia meliputi arahan untuk tidak mengeluarkan permit baru bagi konsesi di tanah gambut (permit moratorium), pencegahan dan amaran awal jerebu, pengenaan hukuman yang tegas, pemuliharaan ekosistem tanah gambut, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama erat (sinergy) antara Kerajaan Pusat dan Tempatan (provinsi).


Sekian, terima kasih.​

Attachments