Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

06 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

46

Soalan

Tuan Lee Chuan How [ Ipoh Timor ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBA​HAN IKLIM menyatakan apakah rancangan Kerajaan bagi memperincikan garis panduan ataupun akta sedia ada dalam memastikan kawal selia REE yang berkesan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Aktiviti perlombongan adalah melibatkan bidang kuasa diperingkat persekutuan dan negeri. Diperingkat persekutuan, ia dikawal selia dibawah Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525] manakala dibawah bidang kuasa negeri, ia dikawal selia oleh Enakmen Mineral Negeri, Ordinan Perlombongan Sabah dan Ordinan Mineral Sarawak. Pada masa ini, Kementerian sedang membuat pindaan ke atas Akta 525 dan Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral yang berkaitan bagi menambahbaik kawal selia aktiviti perlombongan termasuklah ke atas perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE). 


  1. Kementerian juga telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan NR-REE di Malaysia bagi mengawal selia aktiviti perlombongan mineral tersebut selaras dengan prinsip perlombongan secara bertanggungjawab dan mampan.


  1. SOP tersebut yang menyediakan prosedur teratur bagi aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan turut menekankan perkara-perkara penting berkaitan kesan aktiviti perlombongan kepada alam sekitar serta ekosistem biodiversiti.


  1. Kementerian juga sedang meneliti keperluan aspek perundangan sedia ada seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313], dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di samping meneliti Tatacara Pelaksanaan Pengauditan Pematuhan Kendiri ke Arah Industri Perlombongan yang Bertanggungjawab dan Mampan (Self-Regulatory Auditing for Responsible and Sustainable Mining Industry).


  1. Selain itu, dasar larangan eksport sedang diteliti dan diperhalusi oleh Kementerian sebagai usaha untuk memastikan sumber NR-REE tidak dieksport secara mentah serta pada masa yang sama memastikan sumber ini diusaha hasilkan secara tempatan melalui pewujudan industri pemprosesan di peringkat pertengahan. Moratorium terhadap larangan eksport bahan mentah akan dikuatkuasakan setelah aspek dasar dan perundangan dimuktamadkan.


  1. Seterusnya, Kementerian sedang di peringkat akhir membangunkan Dasar Mineral Negara 3 yang bertujuan mewujudkan dasar yang lebih menyeluruh bagi menyokong pembangunan industri mineral yang diusahakan secara bertanggungjawab dan mampan meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.


Sekian, terima kasih. ​

Attachments