Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

06 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

47

Soalan

Tuan Syahredzan bin Johan [ Bangi ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan perkembangan susulan lawatan Menteri ke tapak pelupusan sampah haram di Twin Palms Sungai Long dan Black Water Lake Mahkota Cheras pada 30 Mei 2023, serta langkah-langkah jangka pendek, sederhana, panjang dan garis masa bagi menyelesaikan isu pencemaran di lokasi tersebut.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sentiasa cakna kepada isu-isu pencemaran alam sekitar terutamanya yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kementerian melalui JAS akan sentiasa menjalankan pengawasan dan pemantauan kualiti alam sekitar dalam memastikan setiap punca pencemaran yang tertakluk kepada Akta 127 adalah terkawal.


  1. Bagi isu yang dibangkitkan, Kementerian melalui JAS hanya mempunyai bidang kuasa ke atas pembakaran terbuka melalui penguatkuasaan Akta 127 sahaja. Isu tapak pembuangan sampah adalah di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau pihak Kerajaan Negeri masing-masing bagi negeri-negeri yang tidak tertakluk kepada Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672]. Mengenai isu tapak pelupusan haram, perkara ini adalah dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.


  1. Merujuk kepada tindakan ke atas tapak pembuangan sampah Twin Palms Sungai Long berhubungan isu pencemaran udara yang dilakukan ini, JAS telah menahan 3 orang individu yang mempunyai kaitan dengan kejadian. Penahanan kesemua mereka dibuat bagi membantu siasatan terhadap kesalahan melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A, Larangan ke atas pembakaran terbuka, Akta 127. Kertas siasatan kini telah dibuka dan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk izin dakwa di bawah Seksyen 44, Akta 127. Di bawah Seksyen 29A, Akta 127, telah memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan berkenaan.


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Isu tapak pelupusan sampah haram di Twin Palms Sungai Long dan Black Water Lake Mahkota Cheras ini adalah di bawah kawal selia Kerajaan Negeri Selangor. Berdasarkan semakan pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, tanah yang terlibat adalah merupakan tanah hak milik. Perincian tindakan yang telah dilaksanakan oleh PDT Hulu Langat adalah seperti yang berikut:


  1. Black Water Lake, Mahkota Cheras, Mukim Cheras:


  1. Notis 7A telah dikeluarkan pada 23/6/2022 untuk tempoh 90 hari dan tamat pada 20/9/2022;

  2. Pengesyoran pengeluaran Notis 7B (Pelanggaran Syarat: Notis Supaya Menunjukkan Sebab) kepada pemilik-pemilik tanah dihantar ke Unit Pendaftaran pada 14/6/2023. Pengeluaran Notis 7B akan dibuat dalam masa terdekat;


  1. Twin Palm, Mukim Cheras:


  1. Notis 7A dikeluarkan pada 8 Mac 2022 tetapi tidak dapat diserahkan kerana alamat pemilik berdaftar tidak dapat dikesan;

  2. Notis 7A dikeluarkan pada 7/2/2023 kepada waris untuk tempoh 90 hari dan tamat pada 7/5/2023; dan

  3. Perbincangan lanjut bersama PTG akan dilaksanakan kerana pemberimilikan tanah dilaksanakan pada 1930 iaitu sebelum KTN dikuatkuasakan.


  1. Manakala bagi pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), tiada penyaluran peruntukan yang dapat dibuat bagi tujuan pemulihan dan pembaikan berikutan status tanah tersebut yang merupakan tanah hak milik.


  1. Antara kaedah penyelesaian yang dicadangkan adalah seperti yang berikut:


  1. Rancangan Jangka Pendek:


Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai bidang kuasa yang terhad (Undang-undang Kecil Pembuangan Sampah) dengan jumlah kompaun tidak melebihi RM1,000. Sehubungan itu, PBT telah membuat polisi/dasar berkaitan caj-caj lain yang boleh dikenakan bersekali dengan jumlah kompaun. Pada masa ini, pihak MPKj telah mengenakan caj berjumlah RM5,500 untuk sebuah lori yang disita atas kesalahan membuang sampah di lokasi illegal dumpsite


  1. Rancangan Sederhana Panjang:


Pihak PBT telah memperkenalkan Kaedah Kontraktor Panel untuk Tong Roro bagi kerja kerja pembinaan di kawasan operasi PBT. Kesemua pemaju perumahan/pemilik premis yang menjalankan kerja kerja renovasi dan pembinaan perlu melantik kontraktor ini. Kesemua sampah janaan pembinaan akan dibuang di lokasi yang sepatutnya dan bukan di tempat yang tidak dibenarkan. 


  1. Rancangan Jangka Panjang: 


Kaedah perampasan dilihat sebagai kaedah yang terbaik untuk penyelesaian illegal dumpsite. Kaedah ini mengambil masa yang terlalu lama dan melibatkan kos yang tinggi sekiranya tanah terlibat diberi milikan sebelum merdeka atau sebelum pengenalan Kanun Tanah Negara. Selain itu, perlunya dasar atau undang-undang yang boleh dikenakan kepada operator tapak sampah haram selain daripada tuan tanah. 


Sekian, terima kasih.​

Attachments