Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

06 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

64

Soalan

Tuan Azli bin Yusof [ Shah Alam ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan perkembangan dan kemajuan kerja tebatan banjir di Sungai Klang (Sri Muda) yang sepatutnya bermula pada April 2023. Berapa jumlah yang akan dibelanjakan pada tahun ini, peruntukan untuk tahun 2024 dan tahun 2025.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan mengambil berat dan prihatin dengan kejadian banjir yang berlaku di Taman Sri Muda, Selangor. Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM8.9 juta bagi tindakan keseluruhan jangka masa panjang bagi mengurangkan risiko banjir di Negeri Selangor.

  2. Bagi mengurangkan risiko banjir di Taman Sri Muda, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah melaksanakan Kerja-kerja Menaiktaraf Sistem Saliran Taman Sri Muda, Daerah Klang, Selangor Darul Ehsan dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri melibatkan anggaran kos projek sebanyak RM6.8 juta dan dijangka siap pada Januari 2024. Skop utama bagi projek ini merangkumi pembinaan rumah pam, pengukuhan dan perlindungan tebing, pembinaan rumah kuarters penjaga dan pembinaan pencawang padat TNB.

  3. Dalam usaha berterusan mengurangkan risiko banjir, Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah memperuntukkan sejumlah RM2.1 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan kolam takungan banjir dalam Daerah Klang khususnya di dalam Mukim Klang. Keutamaan penyenggaraan diberikan ke atas lapan (8) buah kolam-kolam takungan yang dikenalpasti tidak mampu menampung kapasiti tadahan dan menjadi punca banjir. Skop penyenggaraan termasuk penggalian mendapan dan kelodak, pembaikan dan penaiktarafan struktur-struktur kolam seperti struktur inlet, outlet, tebing kolam dan sebagainya.

  4. JPS turut membuat perancangan untuk mengkaji semula sistem saliran dan perparitan sedia ada di Daerah Klang menerusi Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Bandar Sepang, Pekan Meru dan Puchong, Selangor. Skop kajian tersebut akan mengambil kira hotspot banjir di Lembangan Sungai Klang seperti Taman Sri Muda di samping mengemaskini PISMA Daerah Klang yang telah siap pada tahun 2009. PISMA tersebut dalam proses penyediaan data Light Detection and Ranging (LIDAR).

  5. Kementerian melalui JPS juga sedang melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam, Daerah Klang, Selangor yang meliputi kawasan Sri Muda. Status semasa projek ini adalah di dalam proses pra pelaksanaan.


Sekian, terima kasih.



Attachments